Beri peluang, ruang kepada Latheefa jalankan amanah: Abu Bakar
SHAH ALAM - Semua pihak harus meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebalik pelantikan pelantikan peguam, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya turut meminta agar semua pihak memberi peluang serta masa kepada Latheefa menjalankan tugasnya dalam usaha kerajaan membanteras gelaja rasuah di negara ini.
"Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah atas pertimbangan Perdana Menteri. Saya yakin bahawa Perdana Menteri mempunyai asas serta alasan yang kukuh, bukannya secara membuta-tuli di sebalik pelantikan Latheefa itu.
"Justeru sebagai rakyat, penting bagi kita untuk yakin, percaya serta memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dalam soal pelantikan jawatan Ketua Pengarah SPRM yang baharu ini sekaligus memastikan tadbir urus kerajaan yang baik dan bersih," katanya hari ini.
Tambah Abu Bakar, adalah lebih adil sekiranya semua pihak memberikan ruang serta masa kepada Latheefa yang bukan ahli mana-mana parti politik itu melaksanakan tugasnya di SPRM termasuk menggunakan pengalaman beliau sebagai peguam profesional.
Kelmarin, Dr. Mahathir mengesahkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu selain menegaskan perkara itu tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada jemaah menteri.
Malah, pelantikan peguam itu dialu-alukan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menganggap Latheefa seorang yang berkelayakan serta mempunyai perwatakan sesuai untuk menyandang jawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri mengharapkan semua pihak supaya menghayati serta mengamati peringatan Dr. Mahathir menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini supaya bersyukur dengan nikmat hidup yang dikecapi di negara kita pada hari ini.
Malah, Perdana Menteri katanya menegaskan agar semua pihak memahami tuntutan Islam yang mahu semua umat agama itu sentiasa berlaku adil dan tidak menghukum tanpa usul periksa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!