Kenali periuk kera, tumbuhan penting kelestarian hutan
SERDANG - Kebelakangan ini nama periuk kera menjadi bualan umum ekoran kebimbangan pencinta alam akan nasib tumbuhan liar itu seandainya dituai berlebihan oleh masyarakat.
Dikenali dengan nama saintifiknya ‘Nepenthes’, periuk kera adalah tumbuhan yang mempunyai bentuk unik seakan periuk atau mangkuk ini. Dianggarkan terdapat 170 spesies tumbuhan ini di seluruh dunia.
Malaysia menjadi tempat tinggal kepada 46 spesies Nepenthes, 11 daripadanya ada di Semenanjung manakala 35 spesies lagi dapat ditemui di Sabah dan Sarawak.
Spesies Nepenthes Rajah adalah spesies periuk kera terbesar di dunia dan hanya boleh ditemui di Gunung Kinabalu, Sabah. Ia boleh membesar sehingga 41 sentimeter tinggi dan 20 sentimeter lebar serta boleh mengisi sehingga 3.5 liter air di dalam mangkuknya.
Spesies lain yang terkenal di negara ini adalah Ampullaria, Lowii, Albomarginata, Gracilis, Macfarlanei dan Rafflesiana.
PENYUBUR HUTAN
Di sebalik rupanya yang unik, ramai yang tidak tahu periuk kera memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan pembesaran hutan.
Untuk memahami lebih lanjut perihal periuk kera, Bernama menemubual pasukan penyelidik dari Program Konservasi dan Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti, Pusat Penyelidikan Biodiversiti dan Persekitaran, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Menurut Ketua Pengarah Penyelidikan program itu, Dr. Rosliza Jajuli, kelebihan tumbuhan ini adalah kemampuannya hidup di kawasan kurang subur kerana sumber nutriennya tidak bergantung kepada tanah semata-mata.
“Ia boleh mencernakan daun-daun kering, serangga atau binatang yang terperangkap di dalamnya untuk hidup, bergantung kepada spesies dan saiz. Kerana itulah ia tidak memerlukan sumber nutrien sepenuhnya daripada tanah,” kata beliau.
Ketika sesuatu kawasan belum subur sepenuhnya, periuk kera hidup di kawasan itu dan dalam tempoh puluhan tahun membantu menjadikan tanah menjadi lebih subur menjadikan ia sesuai dihuni tumbuhan lain.
Ini adalah antara sebab periuk kera mudah ditemui di kawasan pinggir hutan kerana kawasan itu belum subur sepenuhnya, tambah beliau.
Uniknya tumbuhan ini adalah dalam keadaan tertentu ia menjadi sumber kehidupan kepada haiwan di dalam habitat yang sama. Sebagai contoh, ketam gunung dari spesies ‘Geosesarma’ sangat bergantung kepada spesies Ampullaria yang hidup di kawasan gunung untuk mendapatkan sumber air.
Sementara itu spesies Rafflesiana turut memainkan peranan sebagai tempat tinggal kepada kelawar spesies Kerivoula hardwickii kerana saiznya yang cukup besar untuk memuatkan haiwan itu.
DIANCAM
Sementara itu Penyelidik Kanan program sama Dr. Mohd Norfaizal Ghazali berkata tumbuhan ini sedang mengalami beberapa jenis ancaman yang menyebabkan ia semakin sukar didapati.
Mohd Norfaizal yang sudah berkali-kali mengikuti ekspedisi meninjau keadaan hutan negara mengakui pada hari ini tumbuhan periuk kera semakin sukar dapat dilihat berbanding beberapa tahun dahulu.
“Dalam satu ekspedisi bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) pada Mac lalu di suatu tempat di Semenanjung Malaysia mendapati spesies Ampullaria dan Gracilis tidak lagi boleh ditemui di suatu kawasan yang dahulunya subur dengan spesies ini sewaktu lawatan saya lima tahun dahulu,” jelas beliau.
Membincangkan punca situasi itu, beliau berkata ada dua faktor utama yang boleh memainkan peranan iaitu faktor semula jadi dan faktor manusia.
Faktor semula jadi yang biasanya berlaku adalah kebakaran belukar akibat musim panas. Kerana kebanyakan tumbuhan periuk kera tumbuh melata di kawasan rendah, ia mudah dijilat api jika kebakaran belukar berlaku.
Namun faktor yang lebih dibimbangkan adalah peranan manusia dalam pembukaan kawasan hutan yang tidak terkawal, penuaian periuk kera bagi tujuan kulinari serta penuaian anak pokok secara haram bagi memenuhi permintaan peminat tumbuhan eksotik.
Seorang lagi pegawai penyelidik Mardi, Amin Asyraf Tamizi berkata untuk menghalang perkara-perkara di atas daripada berlaku memanglah tidak mudah untuk dilakukan jadi apa yang boleh dibuat adalah terus memberi pendidikan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan tumbuhan ini kepada alam semulajadi.
Untuk nota, spesis Ampullaria biasa dituai untuk tujuan kulinari serta spesies Macfarlanei pula menjadi semakin berkurangan akibat pengambilan secara haram untuk dijual sebagai tumbuhan hiasan.
PENGKOMERSILAN
Berikutan populariti terhadap periuk kera yang semakin meningkat terutamanya bagi tujuan kulinari dan hiasan, beberapa pihak mencadangkan agar ia dapat ditanam secara komersil demi memenuhi permintaan pasaran.
Namun menurut Rosliza, ia tidaklah mudah untuk dilaksanakan.
“Periuk kera memerlukan kira-kira dua tahun untuk membesar sehingga mencapai saiz yang biasanya diinginkan pihak yang mahu menggunakannya bagi tujuan kulinari seperti membuat lemang, nasi lemak dan kuih apam.
“Jika kita betul-betul serius mahu mengkomersilkan tumbuhan ini, kerajaan perlu memberi peluang kepada institut seperti Mardi untuk menjalankan kajian terhadap beberapa spesies yang mendapat permintaan tinggi supaya ia tidak pupus,” ulas beliau.
Sehingga hari ini belum ada sebarang kajian dibuat untuk mengkomersilkan periuk kera sebagai tanaman pertanian oleh itu belum ada sebarang gambaran sekiranya ada teknologi yang boleh digunakan untuk mendapatkan hasil yang banyak sambil mempercepatkan pertumbuhannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!