Elsa penghuni baharu Zoo Melaka
MELAKA TENGAH - Zoo Melaka menerima penghuni baharu berupa seekor anak harimau putih betina, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim.
Katanya, anak harimau berkenaan diterima hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimaterai antara Zoo Melaka dengan Sunway Theme Park.
"MoU telah memberi peluang kepada Zoo Melaka dan Night Safari menerima anak harimau putih bernama Elsa ini.
"Pihak Sunway Theme Park bersetuju untuk meminjamkan anak harimau putih berusia dua tahun yang manja ini dari Sunway Lagoon Wildlife Park," katanya.
Mohd Rafee berkata, Elsa dijangka tiba di Zoo Melaka pada pertengahan Jun nanti.
Bagaimanapun, jelasnya, ia bergantung kepada keadaan haiwan tersebut kerana proses pemindahan memerlukan penyesuaian.
Sebagai pertukaran, beliau berkata, Zoo Melaka akan meminjamkan seekor zirafah betina bernama Mercy yang berusia 10 tahun ke Petting Zoo Lost World Of Tambun (LWOT) Theme Park bagi tujuan pembiakan.
Menurutnya, pihaknya turut meminjamkan seekor ungka tangan putih serta monyet spesies brown capuchine.
"Kerjasama ini dibuat bagi mengembalikan kegemilangan Zoo Melaka "Kita berharap program pertukaran haiwan ini dapat menjaga kelangsungan spesies haiwan terlibat menerusi usaha pembiakannya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rafee berkata, Zoo Melaka juga sedang menjalinkan kerjasama dengan Zoo Kemaman pertukaran buaya jenjulung dan Zoo Johor bagi dua ekor singa betina pada tahun ini.
"Usaha yang dilakukan bertepatan dengan sasarkan jumlah pengunjung yang akan meningkat melebihi 500,000 pada tahun ini.
"Dalam tempoh empat bulan pertama tahun lalu, kita mencatatkan jumlah pengunjung seramai 140, 000, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama tahun 2018," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!