Alunan arkodian yang memikat

Ahmad Zahid Hassan
Ahmad Zahid Hassan
A
A
A

KEMERDUAN alunan muzik akordian yang dimainkan dengan lenggok mengasyikan dalam irama tradisional Melayu, mampu memikat siapa sahaja.

Bukan sahaja di kalangan mereka yang menggemari seni muzik tradsional, tetapi bakat hebat Ahmad Zahid Hassan, 54, turut menarik perhatian generasi muda yang kagum dengan kemampuannya ketika bermain alat muzik akordian dengan gayanya yang tersendiri.

Menerusi bakat dan kemahiran yang dimilikiny itu, Zahid telah membuat persembahan di merata tempat, termasuk acara-acara besar melibatkan orang kenamaan negara.

Lebih manis, Zahid juga berpeluang membuat persembahan di luar negara termasuk Greece, Jepun, Korea, Indonesia dan lain-lain dalam usahanya untuk berkongsi kesenian tradisional dengan masyarakat luar.

Mengimbas penglibatan awalnya bermain alat muzik tradisional ini, Zahid mengakui mula mendekati irama ini apabila mula menyertai Badan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor (BKKNS) sekitar tahun 1989.

"Pada mulanya saya tidak bermain muzik, tetapi merupakan seorang penari kebudayaan. Saya belajar menguasai pelbagai jenis tarian tradisional yang secara tidak langsung mendedahkan saya kepada muzik tradisional juga.

“Suatu hari pemain muzik dalam kumpulan kesenian tersebut tidak cukup orang dan mempelawa saya menyertai mereka apabila melihat saya menunjukkan minat yang mendalam kepada kesenian tradsional.

“Kalau ikutkan saya tiada kemahiran bermain alatan muzik tradisional kerana saya mewarisi kemahiran arwah ayah bermain muzik moden seperti gitar, piano, keyboard dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Namun demi minat, saya cuba dan alhamdulillah dengan bantuan ramai rakan-rakan pemuzik lain selain berguru dengan beberapa rokoh muzik seperti Hamzah Dolmat dan Dollah Songkok, saya berjaya menguasai alat muzik tradisional terutamanya arkodian,” ujar Zahid.

Mengakui tidak mengambil masa yang sama untuk mendalami kesenian ini, kata Zahid, segalanya bertitik tolak daripada minat dan kesedarannya untuk terus mempertahankan kesenian tradisional ini agar tidak terus dilupakan.

“Saya memang tidak ada basic dalam kesenian ini, tapi belajar dan cari pengalaman untuk terus memperbaiki kemahiran saya.

“Minat itu dipupuk berterusan bukan hanya ketika bersama BKKNS, tetapi saya juga pernah menimba pengalaman bersama Jalil Hamid Production, selain pernah memikul tanggungjawab sebagai pengarah muzik sebuah program di TV3.

“Muzik tradisional itu sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi sehingga menjadi sebahagian daripada jiwa saya. Daripada hanya tahu manin arkodian, saya kemudiannya boleh bermain gambus, rebana dan laim-lain,” jelasnya.

No Image Caption

Cari pelapis baharu

Selain tampil bermain secara solo, Zahid yang juga anak kelahiran Ijok, Selangor ini juga bermain muzik secara berkumpulan bersama kumpulan tradisional Sri Kechana yang telah ditubuhkan lebih 18 tahun lalu.

Malah Zahid dan kumpulan tradisional ini sering mendapat jemputan membuat persembahan di beberapa buah hotel terkemuka di ibu kota.

“Mungkin ada orang yang fikir, pemain muzik tradisional secara sepenuh masa ni susah nak cari makan, tetapi berdasarkan pengalaman saya yang hampir sudah 30 tahun dalam bidang ini kami sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dari banyak pihak.

“Saya dan Sri Kenchana pernah bermain muzik tradisional di Hotel De Palma Ampang selama lapan tahun, selain hotel Sheraton Subang dan lain-lain.

“Peluang sentiasa banyak, cuma apa yang saya perhatikan kita semakin kekurangan pemuzik-pemuzik tradisional profesional sehingga menyebabkan tak banyak acara-acara yang boleh gunakan persembahan tradiosional ini,” kata Zahid lagi.

Melihat kepada situasi tersebut, Zahid amat mengharapkan agar pendedahan lebih luas di lakukan terhadap muzik tradisional ini untuk menarik lebih ramai generasi muda mewarisi dan menjadi pelapis kesenian ini.

“Saya pada bila-bila masa sedia berkongsi ilmu dan pengalaman dengnan anak-anak muda yang berminat. Saya tak kisah untuk mengajar secara percuma kerana saya sangat sayangkan warisan kesenian ini.

“Cuma kalaulah ada kesudian pihak-pihak berkaitan atau individu perseorangan yang mempunyai kemampuan untuk memberi dana, kita boleh mengerakkan sesuatu yang lebih besar dengan menyediakan tempat, peralatan dan sebagainya.

“Alhamdulillah baru-baru ini saya mendapat persetujuan daripada Adun di tempat saya, untuk menubuhkan Badan Budaya Ijok yang akan mengumpulkan anak-anak muda dari kawasan tersebut untuk terlibat dengan aktiviti kebudayaan,” ujar Zahid yang juga menyimpan hasrat untuk menerbitkan buku dan video berkaitan alat muzik tradisional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!