Audit Ramadan, berapa skor?

A
A
A

SEJUJURNYA jika kita meletakkan skor 1 hingga 10 keseluruhan amalan kita sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini berapa agaknya kita dapat?

Walaupun agak janggal untuk menjawab persoalan tersebut, namun secara jujur kita amat mengenali siapa diri kita yang sebenar.

Sekiranya kaedah perbandingan dibuat, mungkin skor kita agak tinggi jika dibandingkan dengan individu yang nampak ketara tidak menghormati bulan Ramadan seperti ditangkap kerana tidak berpuasa, berkhalwat dan pelbagai kesalahan lagi.

Namun, skor kita mungkin agak rendah jika dibandingkan dengan orang lain yang begitu cakna ke masjid, suka bersedekah, rajin membaca al-Quran dan pelbagai lagi amalan yang baik.

Persoalannya, adakah pengiraan skor audit Ramadan menerusi kaedah perbandingan adalah tepat dan sesuai?

Sebetulnya kita sendiri yang tahu setakat mana keupayaan kita menempuhi bulan Ramadan yang lalu.

Hakikatnya, untuk mengira skor pencapaian diri kita sepanjang bulan Ramadan menerusi perbandingan dengan orang lain adalah amat salah sekali.

Ini kerana kita tidak boleh menghukum siapa mereka di sisi ALLAH. Walaupun kita nampak mereka jahil dan kurang ambil peduli untuk beribadat sepanjang bulan Ramadan, namun kita tidak tahu nilai mereka di sisi ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Begitulah juga sebaliknya, di mana kita juga tidak tahu sejauh mana amalan mereka yang istiqamah beribadat sepanjang Ramadan yang lalu diterima oleh ALLAH.

Pun begitu, sebuah hadis daripada Salman berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci dan Maha Tinggi adalah Maha Hidup dan Mulia. Dia berasa malu daripada hamba-Nya apabila dia mengangkat kedua-dua tangan kepadanya dan mengembalikannya dalam keadaan kosong. (Hadis riwayat Abu Daud).

Oleh itu, apa yang paling penting kita sentiasa berdoa kepada ALLAH dengan penuh pengharapan agar diterima segala amal ibadat kita dan dikurniakan ganjaran pahala dan dibebaskan daripada api neraka.

Pada hemat saya, jika kita membuat audit kepada diri sendiri berkaitan dengan amalan sepanjang bulan Ramadan, perkara yang paling utama adalah sejauh mana kita jujur untuk meneruskan secara istiqamah amalan kita selepas Ramadan.

Sebetulnya, gejala menyepikan diri dari masjid sering berlaku selepas Ramadan. Bukan itu sahaja, rumah-rumah anak yatim, orang tua dan kanak-kanak orang kurang upaya mula hilang serinya.

Malah, di gedung-gedung membeli-belah dan di hotel-hotel hampir sudah tiada acara membeli pakaian baharu dan meraikan anak-anak yatim serta pelajar tahfiz dengan makanan yang sedap dan lazat.

Ini bermakna, isu kejujuran selepas Ramadan merupakan isu yang begitu besar dan berlaku saban tahun.

Menurut Bung Hatta pejuang kemerdekaan Indonesia, "'Kurang cerdas dapat diperbaiki dengan belajar, kurang cekap dapat dihilangkan dengan pengalaman, namun tidak jujur sulit memperbaikinya".

Persoalannya, sampai bila kita harus biarkan ketidakjujuran ini berlaku dalam kehidupan?

Selain itu, bagi mereka yang berterusan alpa dengan kehidupan dunia sehingga sudah tidak tahu membataskan diri sama ada bulan Ramadan atau tidak, secara jujurnya harus membuat renung nilai ke dalam diri mengapa boleh berlaku sedemikian?

Hakikatnya, untuk jujur kepada diri sendiri, kita perlu berjiwa besar dan bebas. Maksudnya, kita perlu yakin dan bebas untuk menentukan segala apa yang hendak dilakukan tanpa terikat dan bergantung dengan orang lain.

Ini bermakna, kita cakna ke masjid bukan kerana orang lain hadir ke masjid, kita bersedekah kerana majoriti orang yang bersedekah dan kita menutup aurat kerana ramai berbuat begitu.

Apa yang penting, kejujuran itu lahir kerana perbuatan diri kita sendiri yang dilakukan dengan penuh ikhlas untuk mendapatkan keberkatan daripada ALLAH. Tidak mengapa untuk mengambil masa yang agak lama untuk berubah kerana ALLAH tahu kemampuan kita.

Semoga kita dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan pada tahun hadapan. Insya-ALLAH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!