Tipu muslihat harga dalam berniaga
PAK DIN merengus. Senyum pun tidak, bahkan mukanya masam mencuka. Entah apa pula yang mengacau fikirannya. Apabila ditanya tidak dijawabnya dan tidak dipandangnya pula saya. Bak kata peribahasa Melayu lama ‘masam bagai nikah tak suka’ pula.
“Kenapa masam ni? Dekat nak raya ni patutnya gembira,” tanya saya pula.
Pak Din tersenyum kelat. Dicapainya gelas teh tarik untuk meneguknya, kemudian baru dipandangnya saya.
“Aku servis kereta tadi. Nak tukar minyak hitam. Aku tanya tauke kedai, harga minyak hitam. Katanya, kalau jenama German RM135, yang biasa pula RM125,” kata Pak Din.
“Lepas tu?” tanya saya lagi.
“Tauke kedai tu kata lagi, kalau minyak hitam jenama German ni boleh sampai 8,000 kilometer (km) baru tukar. Kalau yang biasa sampai 5,000 km sahaja,” jawab Pak Din lagi sambil menghirup teh tarik pula.
“Jadi apa masalahnya?” tanya saya keliru.
“Masalahnya selepas aku tukar minyak hitam kepada jenama German tu dan hendak bayar, tauke tu kata harganya RM145 pula!” jerit Pak Din sambil menghentak meja.
“Oh,” saya terkejut.
“Aku bertekak dengan tauke kedai tu. Tadi kata harga lain. Bila siap tukar harga lain pula,” jerit Pak Din lagi.
“Lepas tu tauke tu jawab apa?” tanya saya pula.
“Dia tak mengaku. Tauke tu kata memang dia beritahu harga tu. Harga RM145 tu. Aku kata mana ada. Dia kata ada. Aku kata tadi beritahu harga RM135. Dia tak mengaku!” Marah sungguh Pak Din.
“Tak ada tanda harga ke?” tanya saya.
“Itulah pasal. Tanda harga tak ada. Lain kali aku kena rekod dan tulis dulu harga yang dia kata. Kemudian suruh tauke tu tandatangan kat tepi harga tu. Kalau tak, jadi macam inilah tipu harga,” jawab Pak Din.
“Hmm, sebab tu kena letak tanda harga. Supaya pelanggan jelas dengan harga. KPDNHEP pun menyarankan supaya peniaga letak tanda harga. Kalau tak letak, salah tu,” kata saya pula.
Kemudian saya bertanya Pak Din lagi, "tak buat aduan ke?”
“Huh, malas aku. Jadi satu kerja pula nak buat aduan,” jawab Pak Din.
“Kena buatlah. Baru senang KPDNHEP buat pemeriksaan dan pemantauan. Lebih-lebih lagi musim perayaan ni. Penipuan harga dan menaikkan harga sewenang-wenangnya akan berlaku,” kata saya.
Pak Din hanya mendiamkan diri sahaja sambil menghirup sisa teh tarik gelas yang sudah kelihatan kosong.
Cerita-cerita seperti Pak Din ini banyak berlaku juga sebenarnya pada musim perayaan ini. Harga yang diberi tidak berapa jelas dan mengelirukan pula. Mula-mula harga lain, kemudian harga lain pula diberitahu. Apatah lagi musim perayaan ini ramai pula orang hendak selanggara kereta untuk pulang ke kampung.
Ada juga tauke kedai selanggara kereta mengambil kesempatan. Ada barang yang tidak rosak dikatakan rosak untuk kenakan harga lebih. Teruknya pengguna yang menjadi mangsa.
Bak kata peribahasa Melayu lama daripada orang tua Melayu kita dahulu kala yang bijaksana, ‘anjur surut bak bertanam’ yang membawa maksud membuat muslihat dalam melakukan pekerjaan.
Saya pun pernah tertipu juga ketika ingin membeli sup daging di pasar Ramadan. Sebenarnya sudah beberapa kali saya membelinya dan harga yang saya beli ketika itu hanya RM6 sebungkus.
Ketika saya hendak membelinya pada minggu-minggu akhir Ramadan pula, harganya jadi lain pula.
Harga yang sebelum itu RM6 sudah bertukar menjadi RM8 pula. Sudah naik RM2. Saya ada juga menyuarakan ketidakpuasan hati tentang harga yang tiba-tiba bertukar itu tetapi kata penjual sup daging itu, memang harga RM8 pun sebelum ini. Tidak pernah pula harga jadi RM6 kata penjual itu.
“Habis, kau tak buat aduan?” tanya Pak Din pula.
“Tak buat,” kata saya.
“Kenapa?” tanya Pak Din lagi.
“Sebab senyuman si gadis penjual sup daging tu manis sangat,” jawab saya pula sambil tersengih-sengih.
“Cis!” Pak Din lalu bingkas bangun meninggalkan saya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!