Mayat wanita warga emas ditemukan dalam rumah
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas ditemui mati di rumahnya di Seksyen 4 Wangsa Maju, di sini, tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kira-kira jam 12.40 tengah hari.
"Sampai di lokasi, kami mendapati rumah tersebut berkunci dan polis terpaksa memecahkan pintu untuk masuk.
"Kemudian, mayat seorang wanita berusia 90 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai ruang tamu," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai tinggal seorang diri dan menurut jirannya, mangsa kali terakhir dilihat sejak kira-kira seminggu yang lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
"Mayat wanita itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!