Tiga bot penumpang tanpa lesen ditahan
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tiga buah bot penumpang selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarahnya, Hamizan Harun berkata, ketiga-tiga bot penumpang itu dalam perjalanan membawa pelancong dari Jeti Teluk Bahang ke Pantai Kerachut.
Menurutnya, bot itu ditahan pada jarak kira-kira 0.1 batu nautika dari Timur Teluk Duyong pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.
"Ketika pemeriksaan, didapati tiga operator bot lelaki warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 38 tahun berada di atas bot berkenaan. Siasatan mendapati ketiga-tiga bot tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Dua daripada bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen dan dokumen yang sah serta tiada perlindungan insurans bot. Sementara itu, sebuah bot lagi dikendalikan oleh bukan nakhoda sepertimana yang terkandung dalam lesen bot,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga bot berkenaan bersama operator bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"APMM akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang. Saya ingin mengingatkan pemilik bot penumpang agar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
"Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042620621," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!