Kematian misteri: Putra desak tubuh jawatankuasa khas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bumiputra Perkasa (Putra) mendesak jawatankuasa khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuh segera bagi menyiasat punca kejadian 12 orang asli Bateq di Kuala Koh, Kelantan meninggal dunia..

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, jawatankuasa khas itu mestilah terdiri daripada doktor pakar, agensi keselamatan, agensi perundangan dan tokoh berwibawa termasuk wakil sukarelawan dan wakil masyarakat orang asli.

"Tindakan ini sebagai langkah pertama bagi menentukan tindakan selanjutnya demi keadilan mangsa dan menjamin keselamatan masyarakat orang asli.

"Kejadian yang meragut 13 nyawa itu diklasifikasikan sebagai isu nasional. Masyarakat orang asli turut mendakwa kejadian itu berlaku kerana air kotor dan keracunan akibat dari aktiviti pembalakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada satu pihak pun boleh lepas tangan dengan isu itu dan tindakan kerajaan Kelantan dengan cepat menafikan kejadian itu tiada kena mengena dengan keracunan akibat aktiviti pembalakan perlu diambil perhatian.

Sehingga kini, seramai 12 orang asli di Kuala Koh, Gua Musang itu mati secara ‘misteri’ sejak tahun lalu namun terdapat pihak termasuk penduduk mendakwa kematian itu akibat minum air tercemar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Pakatan harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa meminta semua pihak beri perhatian segera terhadap kematian misteri orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Husam melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya berkata, punca kematian sebilangan penduduk bersama ancaman kesihatan yang sedang dialami memerlukan tindakan menyelamat segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Segera selamatkan orang asli Kuala Koh!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!