Kenderaan berat dilarang masuk Lebuhraya Plus mulai hari ini hingga esok
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan bahawa Kementerian Pengangkutan melarang semua kenderaan berat memasuki semua lebuh raya mulai hari ini hingga esok.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya berharap larangan itu akan dapat membantu mengurangkan kesesakan terutamanya di laluan mendaki.
Menurutnya, pergerakan trafik dari Utara ke Kuala Lumpur perlahan di Seberang Perai, Taiping ke Changkat Jering serta di kawasan mendaki dari Terowong Menora ke Ipoh.
"Pergerakan trafik turut perlahan di laluan mendaki di Gua Tempurung, Tapah ke Sungkai dan Bukit Tagar ke Sungai Buaya. Di sebelah Selatan, trafik yang menghala ke Kuala Lumpur bergerak perlahan di Sedenak, Senai dan Simpang Renggam ke Ayer Hitam.
"Trafik turut bergerak perlahan di laluan mendaki di antara Pedas Linggi dan Port Dickson,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata, PLUS menasihatkan semua pemandu supaya mendapatkan rehat yang cukup dan berhenti berehat setiap dua jam di kawasan rehat yang disediakan di sepanjang lebuh raya.
"Surau serta tandas awam juga turut disediakan di plaza tol untuk pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati ketika pulang ke ibu kota memandangkan kadar kematian membabitkan kenderaan itu adalah amat membimbangkan berbanding kenderaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!