Timor Leste turunkan pemain muda semalam
Jurulatih dari Jepun yang berusia 59 tahun itu mendedahkan, dia terpaksa mengharapkan pemain muda yang kebanyakannya berusia antara 18 hingga 20 tahun memandangkan pemain lebih berpengalaman tidak berada dalam keadaan optimum antaranya akibat dipengaruhi gaya hidup tidak sihat.
Keputusan untuk mengetepikan pemain yang berpengalaman daripada senarai pemain, mengakibatkan barisan pemain muda mengalami kekalahan teruk di tangan Harimau Malaya dalam perlawanan pertama pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.
“Suatu keadaan yang sukar kerana lebih kurang 25 pemain senior berhenti berlatih dan musim liga tempatan hanya untuk lima ke enam bulan. Selepas itu mereka tidak berbuat apa-apa, tanpa latihan.
"Jadi, keadaan pemain senior adalah sukar, saya tidak boleh memilih mereka ke dalam skuad, jadi itulah sebab saya memilih pemain muda kali ini. Tapi selepas perlawanan semalam, saya fikir peluang kami untuk pusingan seterusnya 99 peratus musnah,” kata bekas jurulatih Bhutan dan Laos itu kepada wartawan selepas perlawanan malam tadi.
Malaysia membuka jaringan menerusi Corbin Ong Lawrence pada minit ke-11, sebelum Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menambah jaringan pada minit ke-23 dan disusuli jaringan daripada Norshahrul Idlan Talaha (43’), Muhammad Safawi Rasid (45’ and 59’), Mohd Faiz Nasir (78’) and Muhammad Akhyar Rashid (89’)
Timor Leste mendapat gol sagu hati menerusi kaptennya Joao Pedro da Silva Freitas pada minit ke-52 untuk membawa sedikit harapan kepada pasukan di kedudukan 195 dunia berhadapan Harimau Malaya di ranking ke-168 dalam perlawanan kedua di stadium yang sama pada Selasa.
Tsukitate berkata, anak buahnya tidak mampu menandingi skuad Harimau Malaya kerana skuad bimbingan Tan Cheng Hoe bermain dengan kawalan dan hantaran bola yang baik selain daripada gaya permainan berbeza memeranjatkan pemainnya yang kurang berpengalaman dalam perlawanan antarabangsa.
“Dalam liga tempatan, mereka bermain lebih baik, lebih tekanan, lebih banyak hantaran yang baik tetapi dengan Malaysia, mereka tidak boleh bermain sedemikian. Saya harap mereka mempelajari sesuatu dalam perlawanan itu dan mempamerkan aksi lebih baik dalam perlawanan kedua,” katanya.
Sementara, itu Cheng Hoe seakan-akan melihat satu lagi kemenangan besar ketika menentang pasukan yang sama, Selasa ini.
“Sudah tentu kita perlu bermain, kami tidak boleh duduk diam dan perlu bermain dengan kekuatan kami. Kami perlu menggunakan kekuatan maksimum dan pada masa yang sama berwaspada dengan serangan balas yang pantas dari Timor Leste.
"Kami perlu memperbaiki hantaran kami dan tidak hilang fokus tetapi secara keseluruhan saya lihat kami bermain sebagaimana kami inginkan. Walaupun Mohamadou Sumareh tidak menjaringkan gol tetapi dia mempunyai impak yang besar dalam perlawanan itu," katanya.
Beliau turut berharap memperoleh semula momentum untuk menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!