Rumah daif tempat berteduh tujuh beranak
KEMAMAN - Seorang ibu tunggal dan enam anaknya terpaksa meraikan Syawal di rumah daif mereka di Kampung Geliga Pantai di sini apabila sebahagian struktur kediaman mereka runtuh.
Runtuhan membabitkan bahagian tiga bilik tidur, dapur dan bilik air memaksa Zalifah Seman, 44 dan anak-anaknya yang berusia 10 hingga 23 tahun tidur berhimpit di ruang tamu.
Ruang tamu berkeluasan kira-kira 10x10 kaki persegi itu bukan sahaja menjadi tempat melelapkan mata tujuh beranak itu malah ia juga menjadi tempat Zalifah menjahit baju yang menjadi sumber pendapatannya menyara anak-anaknya.
Zalifah berkata, sebahagian struktur rumahnya rosak dan runtuh pada tahun lalu kerana dimakan anai-anai selain faktor usia rumah peninggalan neneknya itu yang sudah melebihi separuh abad.
"Kayu dinding dan lantai dah reput, zink juga banyak yang tercabut. Rumah ini ditinggalkan dua tahun sebab saya dengan anak-anak menyewa di Kuala Terengganu dan akhir tahun lalu kami berpindah semula ke rumah ini.
"Kami tinggal di ruang tamu saja. Kalau masih guna bilik tidur dan bilik air ia sangat bahaya kerana saya sendiri pernah terjerlus kaki hingga ke paras paha sebab terpijak lantai reput," katanya ketika dikunjungi di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, keadaan rumahnya itu menyebabkan dia dan anak-anak terpaksa menumpang tandas jiran atau rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari rumah mereka setiap hari.
"Memang seksa sangat sebab setiap kali nak guna tandas, saya dan anak-anak terpaksa tumpang tandas rumah sebelah atau rumah mak.
"Saya dah kumpul duit sebanyak RM500 untuk buat tandas baru tapi sebab nak sambut raya, separuh dari duit itu saya gunakan untuk beli baju raya anak-anak," katanya.
Tidur, masak, 'kelas' mengaji di ruang tamu
Menurutnya, di satu sudut di ruang tamu rumahnya turut dijadikan ruang dapur sementara iaitu digunakan sebagai tempat memasak supaya mereka dapat mengalas perut.
"Walaupun hanya ruang tamu boleh digunakan tetapi rumah ini juga menjadi tempat saya dan penduduk kampung belajar mengaji al-Quran setiap Selasa dan Jumaat," katanya.
Zalifah berkata, ketika arwah neneknya masih muda sudah menjadi kelaziman dua orang guru agama datang mengajar tajwid dan tafsir al-Quran di rumah itu.
"Jadi sampai sekarang rumah ini menjadi tempat belajar tentang al-Quran walaupun ruang rumah ini sempit kerana ramai yang mahu kekalkan rumah ini sebagai tempat belajar. Orang kampung yang datang mengaji sekitar 20 orang.
"Oleh itu hari mengaji al-Quran saya sekeluarga kena bangun awal. Bantal, toto dan selimut terpaksa diletakkan di luar rumah seketika," katanya.
Bukan sahaja berdepan dengan kesempitan hidup, Zalifah yang bercerai dengan suaminya pada 2018 juga berdepan ujian apabila anak keempatnya, Muhammad Ikhwan Hussaini Rohadi, 18, menghidap penyakit usus sejak tiga tahun lalu.
"Asalnya dia cuma naik bisul di saluran najis dan lepas itu melarat hingga terpaksa buat pembedahan. Sepatutnya dia perlu berjumpa doktor 27 Mei lepas tapi sebab bulan puasa dan kekangan kewangan, kami tak sempat lagi pergi," katanya.
Menurutnya, dek kesempitan wang, dua anaknya yang masih bersekolah, Siti Nur Zulaikha, 12, dan Siti Nurul Huda Insyirah, 10, mengutip tin minuman untuk dijual.
"Kebiasaannya mereka boleh dapat sebanyak RM3 setiap kali menjual tin minuman yang dikumpulkan selama beberapa hari. Purata pendapatan saya RM700 sebulan.
"Saya pernah memohon bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan permohonan diluluskan di bawah kerajaan BN dahulu sebelum PRU14," katanya.
Zalifah berkata, selepas kerajaan berganti, status permohonannya tidak diketahui dan selepas dirujuk kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dia disarankan untuk membuat permohonan baharu.
"Buat masa sekarang saya harap sangat dapat bantuan untuk bina tandas dan bilik air dahulu untuk mudahkan kehidupan harian kami tujuh beranak. Kami juga harap dapat rumah PPRT supaya lebih selesa," katanya.
Orang ramai yang bersimpati nasib Zalifah sekeluarga boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Zalifah Seman (11111-41-0000-6910-1) atau hubunginya di talian 017-9204 507.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!