6,000 penduduk meriahkan rumah terbuka Muhyiddin
MUAR - Kira-kira 6,000 penduduk sekitar Bukit Gambir di sini tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Muafakat, Bandar Baru Bukit Gambir, di sini hari ini.
Majlis berlangsung seawal jam 10 pagi sehingga 2 petang itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Solihan Badri; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan ADUN Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan.
Pada majlis itu, Muhyiddin bersama Noorainee turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung dan merakamkan gambar.
Orang ramai yang ditemui menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mesra, perihatin dan sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.
Pekerja swasta, Saifudin Mat Hayan, 39 dari Taman Bandar Baru Bukit Gambir berkata, sejak daripada dahulu Muhyiddin amat perihatin dengan keperluan rakyat walaupun pernah menjadi pemimpin nombor dua negara (timbalan perdana menteri).
"Walau sibuk dengan tugas sebagai menteri, Muhyiddin tidak pernah bersikap sombong sebaliknya mesra apabila disapa oleh rakyat," katanya.
Turut berkongsi pendapat yang sama, wartawan sebuah akhbar berbahasa cina, Lau Bee Kiau, 37, yang menyatakan rasa kagum beliau dengan personaliti Muhyiddin yang mesra dengan semua kaum.
"Beliau (Muhyiddin) tidak pernah bermasam muka apabila disapa oleh orang ramai dalam apa-apa majlis dan beliau sedia mendengar apa jua luahan rakyat," katanya.
Lau berkata, dia menghormati Muhyiddin dan berharap Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan terus diberi kesihatan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.
Pada rumah terbuka itu pengunjung disajikan pelbagai juadah seperi lemang, rendang daging, nasi beriani, cendol dan aneka kuih tradisional Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!