Casa Villa platform bantu penagih insaf
KUANTAN - Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia) atau DIC Malaysia terus komited membantu pelanggannya terutama golongan penagih yang berhasrat untuk meninggalkan tabiat buruk mereka.
Program pemulihan yang disediakan kini mendapat kepercayaan orang ramai terutama keluarga penagih untuk menghantar ahli keluarga mereka menjalani proses rawatan di Casa Villa iaitu Rumah Penjagaan dan Rawatan Bekas Penagih Dadah Lelaki.
Pengarah Projek DIC Malaysia, Salehuddin Saadan berkata, Casa Villa berperanan sebagai rumah penjagaan dan rawatan bagi pengguna dadah dan bekas penagih yang mengidap HIV positif menggunakan kaedah perkhidmatan akses terbuka melalui pendekatan multi dimensi yang berkesan.
Menurutnya, program itu membantu penagih untuk berubah, membina dan meningkatkan taraf kehidupan serta menerapkan nilai-nilai, sikap, tingkah laku dan pola pemikiran baru dan mengamal cara hidup sihat bagi menstruktur semula personaliti golongan tersebut.
Katanya, objektif utama penubuhan Casa Villa adalah untuk meningkat dan mengekalkan tahap kepulihan dan kehidupan yang positif bagi bekas penagih dadah terutama penghidap HIV.
“Rumah ini juga menjadi penempatan sementara dan kerja bagi bekas penagih dadah yang tersisih selain memberi satu ruang selamat bagi membimbing bekas penagih HiV positif dalam menjalani kehidupan normatif serta penjagaan kesihatan yang teratur.
“Di sini kami mempraktikkan lima konsep saluran iaitu kekeluargaan, sokong bantu rakan sebaya, terapi, keagamaan dan contoh tauladan dan ternyata pendekatan ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan kami selain ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat mula buka mata dan percaya terhadap perkhidmatan yang disediakan pihak Komited Malaysia apabila bilangan penghuni rumah penjagaan itu kini mencecah 60 orang.
“Kalau dahulu hanya sekitar 20 pelanggan sahaja itu pun pengghuni di sini sentiasa keluar masuk. Kita juga yakin, bilangan ini akan terus meningkat dan di Casa Villa ini, kita mampu menampung hingga 100 penghuni pada satu-satu masa.
“Di sini kita mengamalkan konsep ‘buka pintu’ sama ada kepada keluarga untuk menghantar ahli keluarga mereka atau penagih itu sendiri untuk datang secara sukarela bukan sahaja dari Pahang malah seluruh negara,” katanya.
Salehuddin berkata, usaha pihak Komited Malaysia turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam melayu Pahang (MUIP).
“Allhamdulillah banyak pihak menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kami menguruskan pusat ini dan beberapa pusat lain seperti Casa Harapan, Casa Femina, Casa Vista dan ‘drop in centre” di Jalan Wong Ah Jang di sini untuk keperluan pelanggan luar terdiri golongan penagih dadah dan pekerja seks,” katanya.
Beliau berkata, Komited Malaysia turut membuka perkhidmatan di Bandar Tun Razak, Bentong, Raub, Jengka dan Bera.
Di sebalik usaha dan komitmen sepenuhnya pihak Komited Malaysia, Salehuddin berkata, pihaknya tidak dapat lari daripada kekangan kewangan.
“Kita memerlukan peruntukan secukupnya untuk menjalankan program dengan lebih efektif termasuk kos pengurusan, makan minum penghuni dan utiliti.
“Pada masa sama, kita juga berdepan kekangan tenaga kerja untuk menguruskan pusat sedia ada.
“Misalnya di Casa Villa, ia diuruskan seorang pengurus program dibantu seorang kakitangan dan tiga sukarelawan untuk menguruskan 60 penghuni selama 24 jam, tujuh hari seminggu,” katanya.
Justeru katanya, Komited Malaysia perlu mencari dana untuk menampung kos operasi dan utiliti supaya segala yang diusahakan itu berjalan lancar dan memberi manfaat kepada pelanggan seperti yang dihasratkan.
“Walau apapun cabaran dan halangannya, kami akan tetap memberikan perkhidmatan terbaik setakat termampu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!