'Mudah saja nak anyam ketupat'

Aziyan (duduk bawah tiga dari kiri) bersama ahli keluarga menyiapkan kelongsong ketupat sebagai persediaan Aidilfitri.
Aziyan (duduk bawah tiga dari kiri) bersama ahli keluarga menyiapkan kelongsong ketupat sebagai persediaan Aidilfitri.
A
A
A

MELAKA - Hidangan ketupat daun kelapa dan palas semestinya menjadi hidangan wajib pada setiap rumah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Namun tanpa disedari tidak ramai terutamanya generasi muda yang tahu menganyam kelongsong ketupat.

Maka tidak hairanlah ramai yang memilih untuk membeli kelongsong ketupat sedia dianyam di pasaran berbanding menganyam sendiri di rumah.

Tidak kurang juga ramai yang terpaksa menggunakan ketupat segera setiap kali menyediakan hidangan ketupat untuk tetamu mereka.

Bagi seorang guru di Umbai, Aziyan Ali, 50, kesemua anaknya sememangnya telah diajar kemahiran menganyam ketupat sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Menurutnya, setiap kali menjelang Aidilfitri, dia sekeluarga secara gotong-royong akan menyiapkan sekitar 200 kelongsong ketupat bagi hidangan keluarga dan saudara mara.

"Senang bila semua anak-anak sudah tahu menganyam ketupat. Jadi berapa banyak pun jumlah ketupat tidak menjadi masalah, biasanya tidak sampai sejam kami mampu menyiapkan kira-kira 200 kelongsong ketupat.

"Malangnya kini ramai orang muda tidak pandai menganyam ketupat. Kalau belajar boleh sebenarnya sebab sangat mudah namun mungkin kerana kesibukan jadi lebih mudah dengan menempah dengan orang lain atau menggunakan ketupat segera," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Umbai di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Anak lelaki Aziyan, Muhammad Zikri turut tidak ketinggalan membantu menganyam daun ketupat.
Anak lelaki Aziyan, Muhammad Zikri turut tidak ketinggalan membantu menganyam daun ketupat.

Sementara itu, anak kepada Aziyan, Nurul Raihana Hishamudin, 19, berkata, dia mula mempelajari seni anyaman ketupat sejak berusia 12 tahun lagi.

"Rasa tertekan juga pada awalnya apabila melihat ahli keluarga lain semua tahu menganyam ketupat sedangkan saya sendiri tidak ada kemahiran itu.

"Akhirnya saya bertekad untuk mempelajarinya sehingga mampu menguasai beberapa jenis seni anyaman ketupat antaranya ketupat sate, ketupat pasar dan ketupat bawang," katanya.

Muhammad Zikri Hishamudin, 21, pula berkata, dia terpaksa mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum mahir menganyam kelongsong ketupat.

"Orang kata kalau nak mahir kena selalu melihat orang yang mahir menganyam dan kemudian baru mencuba.

"Kesilapan demi kesilapan namun akhirnya baru betul-betul mahir menganyam ketupat," katanya.

Bagi seorang lagi remaja, Syahirah Maisarah Mohd Rosli, 16, kemahiran menganyam ketupat diperoleh daripada ibunya, Suhaidah Ali, 44.

"Ibulah yang banyak memberi tunjuk ajar dan kebiasaannya setiap kali menyambut perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Kerana ketika ini sahaja saya berpeluang belajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!