Anak Perak boleh rancang khidmat di negeri sendiri

Asmuni (kanan) bersama Hasnul Zulkarnain (dua, kiri) melancarkan Sekretariat Mahasiswa Perak sempena majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Mahasiswa Perak semalam.
Asmuni (kanan) bersama Hasnul Zulkarnain (dua, kiri) melancarkan Sekretariat Mahasiswa Perak sempena majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Mahasiswa Perak semalam.
A
A
A

IPOH - Anak Perak berkemahiran tinggi yang selama ini terpaksa merantau bagi memperolehi pendapatan sepadan sudah boleh membuat perancangan untuk kembali menabur bakti di negeri sendiri.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, bermula tahun ini, lima syarikat peneraju perkhidmatan global telah menyatakan persetujuan melebarkan operasinya di Ipoh dengan memfokuskan sektor pekerjaan yang berteraskan kepada Revolusi Industri ke-4 (IR 4.0).

"Inisiatif perintis dikenali GBS@Ipoh atau Global Business Services ini akan dipacu Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai pemangkin ekonomi kerajaan negeri.

"Antara sektor yang menjadi fokus termasuklah kewangan dan sumber manusia, proses automasi robotik, perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat termasuk analistik data besar (Big Data Analytics), pembangunan perisian dan ‘cloud computing’ yang selari dengan keperluan IR 4.0," katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Mahasiswa Perak semalam.

Lima syarikat yang telah menzahirkan komitmen untuk mengambil bahagian di bawah inisiatif perintis itu adalah DigitalQ Solution Sdn Bhd, Puncak Tegap Sdn Bhd, Revoluteq Sdn Bhd, TecCSA Sdn Bhd dan Volgo Sdn Bhd.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja memfokuskan kepada bantuan pendidikan semata-mata, tetapi menyediakan peluang-peluang pekerjaan melalui pelaburan-pelaburan strategik.

Asmuni pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Mahasiswa Perak semalam.
Asmuni pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Mahasiswa Perak semalam.

"Sebagai contoh baru-baru ini, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Perak termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Asmuni yang juga Pengerusi Yayasan Perak berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada golongan mahasiswa tentang kemajuan dan perkembangan untuk penambahbaikan.

Katanya, statistik tahun lalu menunjukkan terdapat 51,036 mahasiswa anak Perak berada di pusat-pusat pengajian seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 36,528 menuntut di universiti awam manakala selebihnya di universiti swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) termasuk Politeknik dan lain-lain.

"Ini menggambarkan bahawa negeri Perak mempunyai ramai golongan terpelajar serta modal insan yang dinamik bagi menerajui kepimpinan negara satu masa nanti," katanya.

Dalam majlis dihadiri lebih 500 mahasiswa Perak itu, beliau turut melancarkan Sekretariat Mahasiswa Perak yang berperanan menjaga kepentingan mahasiswa dan memberi sumbangan idea selain menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!