Pengusaha mengeluh, hotel bajet makin kurang dapat sambutan

Sebahagian tetamu yang menginap di hotel bajet milik Akram. (Gambar kecil: Muhammad Akram)
Sebahagian tetamu yang menginap di hotel bajet milik Akram. (Gambar kecil: Muhammad Akram)
A
A
A

MELAKA - Seorang pengusaha hotel bajet di negeri ini meluahkan keluhan berikutan sambutan masih kurang memberangsangkan di musim Aidilfitri meskipun pelbagai promosi menarik pengunjung telah dibuat.

Malah, Muhammad Akram Abdullah, 34, menganggap tidak banyak peningkatan diterima dari segi sambutan pengunjung pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya yang mengusahakan Hotel De Mawardah di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, meskipun banyak usaha dilakukan termasuk menawarkan pakej potongan harga menarik namun masih kurang membantu meningkatkan jumlah pengunjung.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan promosi dengan memberikan kadar potongan harga 30 peratus di musim perayaan Aidilfitri, tapi sambutan tetap sama saja. Mungkin keluarga yang datang dari jauh lebih suka tinggal di inap desa dengan suasana kampung dari hotel bajet.

"Kami turut memaparkan iklan-iklan di laman sosial bagi menarik pengunjung tapi kesannya masih sama," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Akram yang sudah hampir 10 tahun mengusahakan hotel bajet mendakwa, situasi ekonomi perlahan juga menjadi faktor sehingga pengusaha hotel menerima tempias.

Selain itu, katanya, kewujudan inap desa yang menawarkan kadar harga lebih murah di negeri ini juga turut memberi saingan kepada pengusaha industri hotel bajet.

"Justeru, saya ingin menyarankan agar pihak persatuan hotel di negeri ini menyuarakan hasrat meminta kerajaan negeri memikirkan kaedah bagaimana pengusaha hotel bajet boleh bersaing secara sihat dengan inap desa yang muncul bagai cendawan tumbuh.

Artikel Berkaitan:

“Kami bukan iri hari sebab masing-masing ada kelebihan tersendiri dan strategi pemasaran tertentu, tapi sekurang-kurangnya kerajaan dapat melihat senario kewujudan homestay ini mampu memberi saingan dengan pihak hotel yang berdaftar.

“Berbanding inap desa, kami pengusaha hotel perlu bayar gaji ramai pekerja, cukai pendapatan, cukai pintu, cukai pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!