Latheefa beri perspektif baharu
SEBENARNYA tidak ada sebarang isu atau kontroversi besar dalam pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakikat beliau adalah orang luar juga tidak menjadi persoalan kerana seperti kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Azam Baki, sejak ditubuhkan pada tahun 1967, 10 daripada 13 ketua pesuruhjaya adalah lantik luar.
Kalau pun ada perkara yang boleh dianggap sebagai luar biasa adalah interpretasi politik oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berasa mereka perlu dibawa berunding sebelum keputusan dibuat.
Tetapi seperti yang dihujahkan oleh pihak lain, keputusan mencalonkan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya adalah budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah pun mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam mencadangkan Latheefa sebagai pengganti Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Perdana Menteri tentulah mempunyai alasan yang kuat dan tersendiri. Yang jelas bagi saya adalah beliau mahukan kelainan supaya satu perspektif baharu akan tercetus dalam organisasi penting itu.
Namun ini tidak menghalang mana-mana pihak, termasuk parti politik kerajaan dan pembangang, membahaskan perkara ini secara waras dan bersantun.
Secara peribadi saya tidak kenal Latheefa dan saya yakin orang lain juga begitu. Namun dari aspek persepsi kita semua mempunyai pandangan terhadap beliau sebagai aktivis guaman.
Ramai akan mengaitkan beliau dengan pembabitan beliau dalam kes-kes yang membabitkan pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang mungkin menjadi kelainan dan punca pertikaian oleh sesetengah pihak ialah beliau turut terbabit dalam politik melalui PKR.
Tetapi seperti kata seorang pemimpin veteran parti tersebut, pembabitan beliau itu pun kerana tidak ramai peguam pada mulanya berminat atau berani mempertahankan Anwar dalam kes mahkamah.
Latheefa boleh mengubah perhatian luas masyarakat terhadap pelantikannya sebagai petunjuk dan motivasi untuk melakukan yang terbaik bagi SPRM dan negara. Sebagai seorang aktivis guaman yang berpendirian bebas dan berani, beliau tentulah tidak mahu namanya tercemar dengan tidak melakukan sesuatu yang luar biasa bagi memperkukuhkan dan menaikkan lagi imej SPRM.
Selain menjalankan tugas dengan cemerlang, beliau perlu membuktikan bahawa kritikan terhadap beliau dan Perdana Menteri kerana mencalonkan beliau adalah tidak berasas.
Justeru, kita seharusnya lebih cenderung memberi perhatian kepada apa yang kita sendiri rasa patut beliau lakukan, misalnya membuka kertas siasatan bagi lebih banyak kes dan individu berprofil tinggi.
Pastinya individu yang terlibat dengan rasuah era kleptokrasi tidak terhad kepada beberapa kerat yang sedang dibicarakan sekarang.
Apa halnya dengan mereka yang bersubahat menyekat pelaksanaan hukum undang-undang atau menggunakan kuasa undang-undang ke atas pengkritik kerajaan lama?
Sebenarnya tidak ada had kepada keperluan SPRM menyiasat kes-kes seperti itu demi mengetahui keadaan sebenar kecuali kemampuannya dari segi kakitangan dan kepakaran.
Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa masih wujud ketidaksediaan untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas watak-watak yang pada satu masa dulu berkuasa ke atas SPRM atau akrab dengan kepemimpinan atasannya.
Jadi dengan adanya Ketua Pesuruhjaya baharu yang bebas daripada beban masa lampau, maka bolehlah penyiasatan baharu dan bebas dimulakan. Wallahuaklam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!