Peruntukan RM1 juta naik taraf tiga kuarters polis
JOHOR BAHRU - Parlimen Iskandar Puteri akan menyerahkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Polis Kontinjen Johor untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf tiga kuarters penempatan anggota polis di bandar raya ini.
Ahli Parlimennya, Lim Kit Siang berkata, tiga penempatan berkenaan adalah melibatkan kuarters polis Taman Melor, Taman Melati dan Taman Kenanga yang didiami kira-kira 960 keluarga.
Menurutnya, sumbangan itu juga adalah sebagai tambahan kepada peruntukan sebanyak RM20 juta yang diberikan kerajaan persekutuan untuk tujuan itu pada tahun ini.
“Tiga penempatan ini difahamkan sudah berusia 30 tahun, jadi keadaannya kita faham memang sudah teruk dan perlu diperbaiki. Banyak masalah lain, masalah perpaipan dan sistem bekalan air juga berlaku.
“Kalau ikut anggaran kita memerlukan lebih kurang RM70 juta untuk baiki semua kerosakan yang berlaku di tiga kuarters ini. Tetapi, peruntukan hanya terima RM20 juta, jadi pejabat saya juga akan sama-sama berikan bantuan untuk membantu anggota di sini dapat kemudahan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa melakukan lawatan di tiga kuarters kerajaan berkenaan di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din.
Ketiga-tiga kuarters polis itu keseluruhannya mempunyai 1,148 unit rumah yang mana didiami anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri, Polis Marin, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan IPK Johor.
Kit Siang berkata, daripada keseluruhan unit rumah yang ada, sebanyak 188 tidak dapat digunakan kerana mengalami kerosakan teruk.
“Ia satu perkara yang tidak baik untuk anggota keselamatan kita. Kerajaan sentiasa memandang serius berhubung perkara ini dan diharap peruntukan yang ada dapat menyelesaikannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!