Orang Asli Bateq tidak sedap badan sejak April

Berita mengenai kejadian berkenaan. Gambar kecil: Fadzli
Berita mengenai kejadian berkenaan. Gambar kecil: Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU – Masalah kesihatan yang dialami masyarakat Orang Asli Bateq di Kuala Koh, Gua Musang berlarutan sejak April lalu selepas disuarakan penduduk di situ.

Guru agama Islam orang asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fadzli Mahmok berkata, pihaknya sudah menasihatkan mereka supaya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mereka (orang asli) beritahu tidak sedap badan dan panas. Kami pun nasihatkan mereka untuk dapatkan rawatan di hospital tapi mereka lebih suka memilih untuk berubat cara sendiri dan cari penawar.

“Awalnya mereka masuk hutan untuk cari penawar dan hilangkan rasa panas badan sehinggalah keadaan menjadi semakin parah apabila ada yang meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Fadzli berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan siasatan secara menyeluruh di kawasan tersebut, memandangkan sudah tiba masanya kebajikan masyarakat itu dilihat satu persatu.

Malah menurutnya, tanggungjawab untuk membimbing masyarakat tersebut dibuat sebaik mungkin dan lebih baik jika ada pihak yang bersama kali ini untuk beri lebih pendedahan kepada kaum tersebut terutamanya untuk menjaga kesihatan.

“Bila semua agensi turun padang dan semua pihak bekerjasama, maka kita boleh tahu punca sebenar yang berlaku kepada kaum ini. Langkah ini sangat penting sebab kita tidak mahu angka kematian bertambah, termasuklah jumlah mangsa yang sakit.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak, apa yang penting punca masalah dapat dirungkai. Mungkin disebabkan makanan dan air. Kita tidak tahu. Maka inilah masanya untuk kita siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!