Kaji kualiti sumber air di perkampungan orang asli: JKOASM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menggesa pihak berkaitan agar segera membuat kajian terhadap tahap kebersihan dan kualiti sumber air di kesemua 853 perkampungan Orang Asli bagi mengelak insiden di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, daripada berulang.

Pengerusinya, Tijah Yok Chopil berkata gesaan itu dibuat berikutan masih banyak perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang masih bergantung kepada sumber air daripada sungai dan kawasan tadahan air dari hutan yang tidak dapat dipastikan kualitinya.

“Kajian ke atas kualiti sumber air ini harus dibuat sekurang-kurangnya enam bulan sekali kerana masih banyak kampung Orang Asli yang sumber air dari hutan...ada hutan pernah dibalak dan dilombong yang sudah tercemar.

“Setakat ini, saya rasa tidak ada apa-apa kajian dijalankan ke atas sumber air minum atau penggunaan untuk Orang Asli di mana-mana kampung walaupun kampung itu menggunakan telaga,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan 14 kematian.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata dua daripada 14 kematian yang dilaporkan di Kuala Koh itu dalam tempoh sebulan lalu adalah disebabkan radang paru-paru.

Tijah berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan ia merupakan kejadian luar biasa kerana berlaku dalam tempoh singkat dan melibatkan banyak mangsa.

“Kenapa orang kampung boleh diserang tibi dan pneumonia (radang paru-paru) secara mendadak, apakah puncanya? Kajian demi kajian harus dibuat dengan tepat dan jangan terlampau cepat memberi kenyataan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tijah mengakui sebelum ini, terdapat kematian hampir setiap bulan di beberapa perkampungan Orang Asli yang didakwa akibat penyakit kanser, namun beliau khuatir ia sebenarnya berpunca daripada pencemaran sumber air. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!