Empat maut, penyokong dua parti berbalas tembakan di India
KOLKATA - Sekurang-kurangnya empat maut apabila insiden berbalas tembakan tercetus antara penyokong parti pemerintah dan pesaing mereka di Bengal Barat semalam.
Jurucakap polis memaklumkan tiga yang terbunuh adalah petugas Parti Bharatiya Janata (BJP) dan seorang lagi adalah penyokong Parti Trinamool (TMC).
Kira-kira 18 yang lain turut cedera dalam pertempuran di negeri timur tersebut yang semakin tegang sejak Perdana Menteri Narendra Modi melancarkan kempen agresif untuk memenangi kerusi Parlimen di kawasan itu yang dikuasai pengkritik lantang beliau, Mamata Banerjee selama hampir sedekad.
Sementara itu, saksi memaklumkan lebih 100 anggota polis mengawal keselamatan di Sandeshkhali yang menjadi lokasi terbaharu insiden pertempuran selepas keganasan pilihan raya dilaporkan pada April hingga bulan lalu.
Keputusan pilihan raya menunjukkan BJP memenangi 18 daripada 42 kerusi dipertandingkan di Bengal Barat manakala TMC meraih 22 kerusi dan parti pembangkang, Parti Kongres memperoleh dua kerusi.
Selain itu, parti pemerintah turut menang besar dengan 303 kerusi di Parlimen berbanding 282 kerusi pada 2014. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!