12 ahli gabungan tidak percaya Makaf
IPOH - Sebanyak 12 ahli gabungan Persekutuan Karate Do Malaysia (Makaf) menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan badan induk itu selepas dikatakan gagal menangani beberapa isu berkaitan sukan tersebut sejak Februari tahun lalu.
Presiden Persatuan Karate Do Putrajaya, P Thiagu berkata, 12 daripada 22 gabungan itu membuat keputusan berkenaan menerusi undi tidak percaya yang dijalankan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.
Menurutnya, kegagalan program latihan dan kejohanan sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 antara faktor undi tidak percaya dibuat terhadap Majlis Eksekutif Makaf.
"Sebab lain kami mengadakan EGM ini adalah terdapat isu penyalahgunaan dana apabila Makaf membuat pelaburan tanpa mendapat kelulusan majlis tertinggi.
"Dana tersebut tidak diuruskan sebaiknya sehingga berlaku pembaziran contohnya, kita ada lapan atlet tetapi 12 pegawai yang mengiringinya. Kita mempunyai bukti termasuk penyata kewangan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Thiagu berkata, penyelesaian dalaman perlu diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan 1997.
"Keputusan melaksanakan EGM adalah jalan terakhir bagi ahli-ahli gabungan Makaf disebabkan Majlis Eksekutif tidak menghiraukan akan perkara-perkara berbangkit yang dikemukakan sebelum ini.
"Penyelesaian dalaman telah diambil dan sekiranya tidak selesai barulah ia membabitkan campur tangan daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan," katanya.
Katanya, dengan keputusan itu, status pentadbiran Makaf akan diambil alih oleh jawatankuasa ad hoc sehingga Mesyuarat Agung Pemilihan Majlis Eksekutif yang baru dijangka pada 10 Julai ini.
Makaf kini di bawah pimpinan Tan Sri Mohd Ali Rustam selaku presiden selepas menewaskan Datuk Clement Soo pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!