Tertinggal anak di kedai makan
SETIU - Sebuah keluarga yang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas bercuti di Pulau Perhentian berdepan saat mendebarkan apabila menyedari anak lelaki mereka tertinggal di kedai makan tengah hari tadi.
Ketiadaan Akif Akmal Nizam, 6, disedari tertinggal selepas mereka berhenti makan di sebuah warung di Bandar Permaisuri oleh ibu bapa mereka sebaik tiba di Gua Musang kira-kira jam 5 petang.
Bapa saudara kanak-kanak tersebut, Mohd Amirul Amin Amran, 28, berkata, dia dan tiga sekeluarga termasuk keluarga Akif Akmal baru sahaja pulang dari bercuti selama tiga hari di pulau peranginan itu.
"Kami menaiki tiga kereta singgah makan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan selesai makan, ibu bapa Akif bertolak dengan dua buah kereta ke Gua Musang manakala saya pulang ke Kampung Tasek.
"Pada awalnya ibu bapa Akif menyangka anaknya menaiki kereta ahli keluarganya yang sebuah lagi untuk pulang ke Gua Musang sebelum merancang pulang ke Kajang, Selangor malam ini,” katanya.
Menurutnya, namun keadaan menjadi kelam kabut apabila menyedari Akif tidak ada dalam kereta ahli keluarganya itu sementara dua kakak Akif menaiki kereta bersama ibu bapa mereka.
“Saya pada mulanya saya juga terkejut apabila dihubungi ibu Akif memberitahu Akif tidak ada sebelum saya mendapat maklumat Akif berada di Balai Polis Permaisuri tidak lama kemudian.
“Saya kemudian bergegas ke balai tersebut dan mengambil Akif pulang kira-kira jam 6.15 petang manakala pihak polis memberitahu pemilik kedai makan tersebut telah melaporkan kejadian itu sebelum menyerahkan Akif kepada pihak polis,” katanya.
Menurutnya, dia membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya di Kampung Tasek terlebih dahulu dan menghantar Akif ke pangkuan ibu bapanya di Gua Musang pagi esok sebelum mereka pulang ke Kajang.
“Akif berada dalam ceria dan dia tidak menangis ketika berada dalam jagaan pihak polis. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak polis dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Petang tadi tular di media sosial mengenai kejadian seorang kanak-kanak tertinggal di kedai makan di bandar Permaisuri dan dia berada di Balai Polis Permaisuri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!