Baru nak jalan beraya, rumah terbakar
DUNGUN - Luluh hati sembilan beranak apabila rumah yang baru ditinggalkan seketika untuk keluar beraya hangus dalam kejadian kebakaran di Taman Setia, Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu berlaku ketika Mohd Rafiq Rasdi, 26, sekeluarga dalam perjalanan ke rumah saudara di Bandar Paka sebelum menerima panggilan daripada seorang rakannya yang memberitahu perkara tersebut.
Mohd Rafiq berkata, rumah papan berkenaan musnah kira-kira 99 peratus dan kesemua sembilan sekeluarga itu tinggal sehelai sepinggang sekali gus mengakibatkan mereka kerugian kira-kira RM100,000.
"Memang terkejut bila diberitahu rumah saya terbakar lalu dan saya sekeluarga semua berpatah balik ke rumah. Bila sampai di rumah, saya tengok api sudah marak.
"Saya tak dapat buat apa-apa atau selamatkan apa-apa dalam rumah yang menjadi tempat saya dan adik-beradik membesar sejak 30 tahun lalu," katanya.
Mohd Rafiq yang juga operator kilang memproses buah kelapa sawit berkata, musibah itu meragut kegembiraan mereka sekeluarga untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
"Kesemua harta benda termasuk pakaian dan beberapa kelengkapan untuk menyambut lebaran musnah sama sekali dalam kebakaran itu. Memang sedih bila tengok semua sudah rentung dan jadi debu.
"Tapi pada masa sama saya bersyukur kerana tiada siapa yang cedera. Kejadian ini jadi pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan kami sekeluarga sampai bila-bila," katanya.
Jirannya, Mohd Arif Anas, 29, berkata, kebakaran itu pada awalnya disedari bapanya yang melihat api di tengah rumah itu yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.
"Ketika itu keluarga sedang sibuk kerana majlis perkahwinan adik lelaki saya tapi tiba-tiba ayah menjerit kepada saya mengatakan ada api di rumah jiran.
"Saya pada mulanya tidak percaya tetapi bila melihat sendiri saya terus hubungi talian kecemasan sebelum pergi ke rumah itu untuk menyelamatkan beberapa barangan bersama jiran yang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al Mukhtafi Bilah Shah, Penolong Penguasa Bomba Zul Azman Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.52 petang.
"Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dan ambulan dari unit EMRS bergegas ke lokasi sebelum mendapati kebakaran sudah memusnahkan kira-kira 80 peratus kediaman.
"Api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.58 petang sebelum operasi ditamatkan kira-kira 30 minit kemudian. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya ketika dihubungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!