Siasat wabak cetus kematian Orang Asli Bateq
KOTA BHARU – Pihak berkuasa digesa supaya mengenal pasti segera punca wabak hingga yang meragut nyawa komuniti orang asli di Kampung Kuala Koh.
Ketua Biro Kesihatan, Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, langkah-langkah untuk mengawal dan menghentikan penyakit berjangkit ini juga perlu disegerakan bagi mengelakkan lebih ramai terkorban.
"Komuniti orang asli di perkampungan itu juga perlu mendapat rawatan jika mengalami gejala penyakit seperti sama dialami mangsa dan saya harap masyarakat sentiasa peka untuk menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran kita.
“Ini termasuklah makanan yang kita makan, udara yang kita hidu dan sumber air yang kita minum supaya selamat untuk digunakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam
Dr Hafidzah berkata, wabak penyakit yang melanda komuniti orang asli itu mengundang rasa duka kerana ia meragut 2 nyawa dan dipercayai 12 yang lain manakala puluhan lain termasuk tiga bayi dimasukkan ke hospital.
"Melihat kepada laporan di media sosial, menunjukkan penduduk kampung ini menderita penyakit kulit sejak beberapa lama dan ada pendapat yang mengaitkannya dengan sumber air penduduk yang mungkin tercemar.
“Tentunya perkembangan ini mencetuskan kebimbangan dan spekulasi orang awam. Saya difahamkan pelbagai jabatan kerajaan sudah pun turun untuk membuat siasatan dan saya percaya kita tidak mengalami kekurangan tenaga pakar yang boleh memberikan penjelasan lebih tepat berkaitan wabak ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!