Jangan sampai hina mahkamah
KES Daniel Abdullah Tan atau lebih dikenali sebagai Abang Botak, individu yang telah memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya menjadi bualan ramai.
Diskusi awam yang berlangsung adalah mengenai sama ada hukuman satu tahun penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya tempoh hari adalah setimpal atau ia terlalu berat.
Penulis sendiri bersama dengan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Damansara, Farhan Haziq Mohamed berpendapat bahawa hukuman tersebut adalah terlalu berat dan hukuman denda adalah lebih sesuai. Pendapat ini adalah berdasarkan pengakuan salah Abang Botak, fakta bahawa tidak ada yang cedera dan kelakuan itu bukan untuk merompak atau mencuri. Semua ini adalah mitigasi yang mewajarkan hukuman denda.
Atas dasar ini, kami berpendapat dengan hormatnya terdapat kekhilafan pada keputusan Majistret Nur Shahira Abdul Salim dalam kes tersebut.
Penulis mengecam perbuatan tertuduh dan menyokong penggunaan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan road rage seperti yang terjadi di dalam kes ini. Penulis menyokong penuh tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap insiden-insiden seperti ini.
Tetapi, apabila kami kata ada kekhilafan dalam hukuman kes Abang Botak, ia bukan kritikan peribadi terhadap beliau tetapi pandangan kami dari sudut undang-undang dan fakta. ‘Khilaf’ yang kami nyatakan itu merujuk kepada perkara tersebut.
Penulis sendiri banyak kali pernah mengendali kes di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim. Pada penulis, Nur Shahira adalah seorang majistret yang baik dan adil.
Rakyat boleh mempersoalkan atau mengkritik keputusan Mahkamah, asalkan dibuat dengan berhemah dan profesional. Dalam negara demokratik, rakyat punya kebebasan untuk bersuara mengenai mana-mana cabang Daulah.
Kita mesti sentiasa menghormati mahkamah, walaupun dalam mengkritik mana-mana penghakiman atau keputusan. Harus juga diingatkan bahawa terdapatnya prosedur yang terbuka buat mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding mahkamah untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.
Namun demikian, apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana mahkamah tetap mengikat dan sah, selagi ia tidak diputuskan sebaliknya oleh mahkamah atasan.
Malangnya, ada antara mereka yang memberi komen dan ulasan di alam maya telah melangkaui batas ekspresi yang wajar. Oleh itu, penulis rasa terpanggil untuk mengingatkan semua pihak supaya jangan keterlaluan dalam mengulas tentang isu ini.
Ada individu yang mencaci dan mencerca mahkamah dan ada juga mengaitkan isu ini dengan teori konspirasi perkauman. Kononnya, terdapat perbezaan dari segi hukuman antara mereka yang beragama Islam (seperti Abang Botak) dan mereka yang berbangsa lain (seperti kes model yang didakwa memandu kereta lawan arus). Dakwaan itu semua mengarut dan tidak berasas walaupun penulis merasakan Abang Botak sewajarnya didenda sahaja, pada masa yang sama penulis mengecam mana-mana pihak yang menghina mahkamah.
Membuat tanggapan bahawa terdapat unsur luaran seperti teori konspirasi kaum dalam majistret yang bijaksana mencapai keputusannya boleh menjurus kepada suatu bentuk penghinaan kepada mahkamah.
Dalam kita ghairah berbincang mengenai kes ini, kita kena pastikan pada setiap masa bahawa kita jangan sampai menghina.
Mana-mana pegawai kehakiman, sama ada majistret atau hakim, mesti dihormati atas dasar kedudukan mereka sebagai pegawai kehakiman. Kritik boleh, tetapi jangan sekali-kali hina mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!