Kerjasama digital libatkan RTM, Jabatan Penerangan, Bernama

Gobind (dua,kiri) semasa membuat lawatan di RTM Johor.
Gobind (dua,kiri) semasa membuat lawatan di RTM Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan bercadang mewujudkan sebuah portal berita secara usahasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai mendepani perkembangan perkhidmatan digital masa kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobinh Singh Deo berkata, portal berita berkenaan dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

"Kita mahu mewujudkan kerjasama ini bagi perkhidmatan digital sekaligus bagi memastikan dapat bersaing dengan media-media lain khususnya dalam media sosial.

"Terdapat banyak portal baharu pada masa kini dan portal-portal itu sememangnya mempunyai tarikan yang tinggi berikutan mereka boleh membawa breaking news (berita tergempar) kepada rakyat dengan begitu pantas.

"Saya lihat kita ada RTM, Bernama serta Jabatan Penerangan, maka kita ada tenaga dan semua infrastruktur telah wujud, jadi apa yang kita boleh lakukan adalah strukturkan semula supaya kita dapat bersaing dengan portal-portal lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja di RTM dan Jabatan Penerangan negeri Johor, di sini, hari ini.

Lawatan tersebut turut melibatkan Bernama yang mana bertujuan melihat keperluan sama ada perlu meningkatkan jumlah tenaga kerja serta kemudahan infrastruktur yang dimiliki memandangkan media sekarang menuju ke arah perkhidmatan digital.

obind (tengah) merakam kenangan bersama-sama pegawai dan kakitangan RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan Johor di pekarangan bangunan RTM Johor.
obind (tengah) merakam kenangan bersama-sama pegawai dan kakitangan RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan Johor di pekarangan bangunan RTM Johor.

Artikel Berkaitan:

Gobind bagaimanapun berkata, kewujudan portal berita yang menggabungkan ketiga-tiga agensi itu masih lagi di peringkat kajian sebelum dilaksanakan.

"Buat masa ini kita sedang lihat dan kaji perkata itu (wujud portal yang menggabungkan tiga agensi) dan kemungkinan suku pertama tahun depan kita akan membuat pengumumannya dan ini antara salah satu inisiatif yang mahu saya laksanakan pada tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas soal kebajikan pengamal media sambilan dan kontrak membabitkan dari RTM dan Bernama, beliau mahu memastikan semua kemudahan turut diterima oleh tenaga kerja berkenaan.

"Apabila seseorang itu bekerja memang ada diberikan semua kemudahan yang diperlukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.

"Saya kira masalah itu sudah wujud sejak sekian lama, tetapi masih belum ada tindakan untuk atasinya. Saya akan berbincang dengan RTM dan Bernama supaya perkara ini dapat diketengahkan dan cari jalan penyelesaiannya," katanya.

Ujarnya lagi, beliau turut menerima aduan mengenai pengamal media yang tidak dilindungi perlindungan insurans apabila mereka keluar melaksanakan tugasan dan kerap kali berdepan pelbagai risiko.

"Adalah sangat penting dan perlu kita faham bahawa skop kerja seperti ini (pengamal media) memerlukan kita keluar kerja 24 jam dan ini berkaitan soal keselamatan.

"Saya rasa kementerian juga perihatin dengan perkara ini (perlindungan insurans) dan saya akan bawa isu ini pada tahun depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!