Norman Hakim, Abby Abadi raikan Syawal bersama keluarga besar
UMUM sedia maklum bahawa pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi pernah berkahwin dan mereka telah pun lama berpisah. Mereka juga sudah berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Namun, apa yang menariknya tentang mereka adalah walaupun sudah lama berpisah namun Norman dan Abby tetap menjalinkan hubungan yang baik seisi keluarga.
Justeru, tidak hairanlah apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perhatian sehingga dijadikan inspirasi kerana seronok melihat keakraban dan ukhuwah yang terjalin.
Apa yang lebih menarik, di hari raya ini Norman dan Abby masih lagi mengekalkan amalan tradisi pulang berhari raya untuk berkumpul bersama keluarga besar masing-masing.
Mohamed Nurhakim Zaidon atau lebih dikenali sebagai Norman Hakim berkata, mereka sudah mengamalkan rutin itu sejak tujuh tahun yang lalu.
“Kebiasaannya pada hari raya pertama saya akan pulang beraya di kampung saya, Kuantan, Pahang kemudian pada sebelah petang akan pulang ke Kuala Lumpur untuk berkumpul bersama keluarga sebelah Abby pula.
“Selepas itu, kami akan berpecah untuk pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing. Macam saya pulang ke kampung Memey di Johor dan begitu juga Abby akan mengikut suaminya.
“Kami sudah terbiasa dan kalau tak berkumpul akan ada lahir satu perasaan yang janggal,” kongsi pelakon berusia 43 tahun itu.
Norman dan Abby bercerai pada 2006. Menerusi perkahwinan tersebut, mereka memiliki tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11.
Selepas itu, Norman mendirikan rumah tangga dengan Memey Suhaiza pada 24 September 2011 dan turut dikurniakan tiga orang cahaya mata, dua lelaki dan seorang perempuan, Muhammad Darwisz Hakim, 6, Muhammad Dikhriz Hakim, 4, dan Mikayla Delisha Hakim, 11 bulan.
Usai menyambut keriangan Syawal bersama kedua belah keluarga tersayang di kampung halaman masing-masing, Norman akan mengadakan rumah terbuka pada minggu ketiga atau akhir Syawal selepas beberapa urusan selesai.
“Mungkin lewat tetapi yang pasti dalam salah satu tarikh bulan Syawal kerana pada minggu pertama saya beraya di kampung dan minggu kedua biasanya dah mula bekerja semula.
“Jadi, saya kena habiskan kerja-kerja berkaitan terlebih dahulu. Bila sudah OK barulah akan mula fikirkan untuk mengadakan rumah terbuka.
“Bagi saya rumah terbuka ini penting untuk mengeratkan ukhuwah antara sesama keluarga dan jiran tetangga serta sahabat handai,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!