Orang ramai tak lepas peluang swafoto sekitar 'drawbridge'
SEBERANG TAKIR - Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berswafoto di sekitar jambatan angkat atau ‘drawbridge’ berlatar belakangkan ikonik baharu Terengganu itu sempena cuti hari raya di sini.
Tinjauan mendapati, jambatan angkat sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu terus menggamit orang ramai untuk merakamkan gambar kenangan.
Jambatan pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara itu terus menjadi tumpuan ramai bukan sahaja perantau yang pulang untuk berhari raya tetapi pengunjung dari luar negeri berkenaan.
Malah, pemandangan kawasan jambatan angkat ini menjadi lokasi pilihan bagi ratusan keluarga untuk mengabadikan gambar potret keluarga sempena Aidilfitri tahun ini berlatar belakang 'drawbridge'.
Mohamad Nor Abdul Aziz, 46, dan keluarganya dari Kuantan, Pahang juga tidak mahu ketinggalan untuk mengabdikan gambar kenangan keluarga bersama berlatarbelakangkan jambatan itu.
“Walaupun kami dari Pahang tapi tetap bangga dengan Terengganu kerana jambatan ikonik ini. Jambatan ini kini jadi buah mulut rakyat Terengganu dan masyarakat luar.
“Jadi, saya dan keluarga tak mahu lepaskan peluang rakam gambar kenangan berlatarbelakangkan jambatan unik ini," katanya ketika ditemui hari ini.
Bagi seorang remaja, Adriana Maisarah Zolini, 16, pula, dia dan rakan rakan tidak mahu ketinggalan menjadikan jambatan itu sebagai latar belakang kepada gambar kenangan sempena Aidilfitri.
“Kami pernah datang masa jambatan ini masih belum dibuka, tapi lebih menarik sekarang. Kami datang nak rakam gambar kenangan sempena Aidilfitri," katanya ketika ditemui.
Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ itu mula dibuka untuk tempoh percubaan selama dua minggu bermula 3 Jun lalu dan sehingga kini menerima ribuan pengunjung sepanjang cuti hari raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!