Jejantas gelap ancam keselamatan pengguna
SUNGAI PETANI - Kerosakan lampu jejantas sekian lama menyukarkan pengguna sehingga mendatangkan bahaya sekali gus mengundang risiko jenayah.
Bekas ketua kampung, Teoh Kim Lee, 44, berkata, jejantas di laluan kereta api yang memendekkan jarak Pekan Lama ke Jalan Ibrahim itu, dijadikan laluan utama bagi sesetengah pengguna terutama penunggang motosikal.
Menurutnya, laluan sama juga menjadi pilihan pengguna sekitar untuk ke tempat kerja kerana menjimatkan masa dan jarak perjalanan.
"Tetapi, sekiranya ia tidak diselenggara dengan baik, ia besar berkemungkinan menjadi laluan paling bahaya kepada mereka," katanya.
Menurutnya, selain lampu rosak, kawasan berkenaan juga ditumbuhi rumput liar menunjukkan tiada pemantauan kebersihan dibuat pihak berkaitan.
"Sekarang ini ramai yang takut untuk lalu kawasan ini sebab gelap dan bimbang menjadi sasaran penjenayah.
"Difahamkan, beberapa aduan dikemukakan namun masih tiada tindakan, sehingga menyebabkan pengguna terpaksa melalui jalan lain yang agak jauh untuk sampai ke destinasi.
"Aspek penyelenggaraan dan kebersihan juga perlu dipertingkatkan demi kelancaran perjalanan dan memastikan keselamatan pengguna terjamin," katanya.
Menurutnya, pemimpin yang ada perlu turun padang mendengar masalah dan aduan rakyat bagi memastikan kesejahteraan hidup terpelihara.
"Walaupun saya tidak lagi ketua kampung, namun saya akan sentiasa menyuarakan permasalahan bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan negeri meningkatkan kemudahan infrastruktur termasuk laluan sekitar kemudahan awam seperti jejantas berkenaan kerana ia menghubungkan beberapa stesen awam seperti stesen kereta api dan stesen bas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!