Kedai emas dipecah masuk, pemilik rugi RM5 juta

Anggota polis menunjukkan lokasi kejadian di kedai emas, Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, hari ini.
Anggota polis menunjukkan lokasi kejadian di kedai emas, Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebuah kedai emas di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini kerugian kira-kira RM5 juta selepas dipecah masuk penjenayah. Kejadian hanya disedari pemilik premis berusia 45 tahun ketika mahu membuka premisnya kira-kira jam 10 pagi tadi selepas ditutup seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dipercayai kejadian berlaku pada Jumaat lalu antara pukul 2 hingga 6 pagi.

"Suspek dipercayai memasuki premis itu melalui saluran udara dan kemudiannya memanjat siling untuk ke bilik kebal sebelum menebuk pintu bilik kebal itu menggunakan alat pemotong besi.

"Suspek kemudian melarikan kesemua barang kemas setelah berjaya menebuk peti besi di bilik kebal terbabit," katanya ketika ditemui pemberita, di lokasi kejadian, hari ini.

Baharudin berkata, siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan nilai anggaran kerugian barang kemas terbabit, namun anggaran awal ia melebihi RM5 juta.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan jenayah ini dilakukan oleh lebih dua suspek dan mereka adalah penjenayah professional berdasarkan modus operandi yang digunakan.

"Suspek turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) premis. Bagaimanapun, kita akan meneliti rakaman CCTV di premis berdekatan bagi menjejakinya," katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati kejadian itu adalah pertama kali berlaku di premis yang baharu beroperasi sejak awal tahun ini. "Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!