Bengang tak dilayan, lelaki ugut bunuh ahli keluarga ibu saudara
KUALA TERENGGANU - Bengang tidak dilayan ketika datang beraya ke rumah ibu saudaranya, seorang lelaki melemparkan kata-kata ugutan hendak membunuh semua ahli keluarga wanita itu, dalam kejadian di Kampung Tebauk, di sini, Khamis lalu.
Kejadian pada hari raya kedua itu berlaku kira-kira jam 4 petang selepas suspek, 20-an, datang ke rumah ibu saudaranya untuk beraya tetapi dihalang oleh wanita itu ketika dia cuba masuk ke dalam rumah.
Menurut sumber, suspek yang tidak berpuas hati datang ke rumah mangsa sekali lagi dalam keadaan marah-marah dan berkata yang bukan-bukan dengan memaki hamun semua tetamu yang ada, kira-kira jam 7.30 malam.
"Bagaimanapun situasi yang agak tegang itu berjaya ditenangkan anak lelaki mangsa dengan memujuk sepupunya (suspek) sebelum keluar dari rumah tetapi dalam keadaan masih tidak berpuas hati.
"Suspek sekali lagi datang ke rumah itu kira-kira jam 9.45 malam kononnya untuk beraya lagi, tetapi ahli keluarga mangsa tidak mengendahkannya kerana kecewa dengan tindakan suspek sebelum itu.
"Bengang tidak dilayan sebagai tetamu, suspek bertindak cuba mencederakan menantu ibu saudaranya itu dengan mencucuh puntung rokok ke arah mata sebelum sempat dihalang salah seorang anak lelaki mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sumber berkata, suspek yang masih berdendam dengan keluarga ibu saudaranya itu sekali lagi datang menyerang rumah mereka dengan membawa sebatang kayu panjang sebelum cuba memukul semua yang ada ketika itu.
"Tetapi perbuatan itu berjaya dihalang oleh adik lelaki suspek yang sengaja mengekorinya sebelum bertindak merampas senjata itu dan membawa suspek balik ke rumah mereka.
"Semasa dipaksa pulang, suspek sempat mengeluarkan kata-kata ugutan yang dia akan datang semula dan cuba membunuh semua yang ada di dalam rumah itu," katanya.
Risau akan keselamatan ahli keluarga pada masa akan datang, salah seorang anak lelaki mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!