Empat sahabat berdepan hukuman gantung

Noor Halim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Bongor malam tadi.
Noor Halim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Bongor malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Empat sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki sejumlah 459g dadah jenis heroin dalam operasi di Kampung Padang Bongor jam 9.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, serbuan dilakukan seorang pegawai dan enam anggota dalam Operasi Tapin bermula jam 5 petang hingga 3 pagi.

Menurutnya, bertindak atas risikan dan maklumat awam pihaknya mendapati rumah itu didiami tiga lelaki dan seorang wanita yang masing- masing berasal Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Semua suspek berusia di antara 26 hingga 36 tahun. Pemeriksaan di ruang tamu dan bilik berdekatan suspek menemui beberapa bungkus plastik yang mengandungi dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM8,075.

"Salah seorang suspek memiliki rekod berkaitan pada 2013 dan dua daripada mereka juga positif methamphetamine.

"Semua suspek direman seminggu bermula dari 10 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.

Noor Halim berkata, bekalan dadah itu dibawa dari Pulau Pinang untuk pasaran Raub, Pahang.

Dalam operasi itu juga pihak polis telah menyita sebuah kereta dan motosikal bernilai RM21,000.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!