Kementerian Pendidikan sedia kerjasama SPRM: Maszlee
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membentuk budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.
Mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengenai usaha melibatkan bidang pendidikan bagi mencapai matlamat itu, Maszlee berkata pendidikan adalah teras penting dalam mendidik masyarakat tentang keburukan jenayah rasuah.
"Saya bagi pihak KPM juga ingin menjemput Latheefa ke pejabat bagi mengadakan perbincangan lanjut untuk meneroka pelbagai ruang kerjasama yang boleh dijalinkan ke arah matlamat Malaysia bebas rasuah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, Latheefa dilaporkan berkata beliau akan melihat kepada tindakan jangka panjang termasuk dari aspek pendidikan bagi mewujudkan budaya tidak bertolerasi kepada rasuah.
Latheefa yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun lepas, berkata adalah menjadi hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!