Timor Leste perlu tingkatkan liga tempatan untuk bersaing: Norio

Ketua Jurulatih Timor- Leste Norio Tsukitate (kiri) pada sidang media Pra Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Ketua Jurulatih Timor- Leste Norio Tsukitate (kiri) pada sidang media Pra Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih pasukan bola sepak Timor Leste, Norio Tsukitate percaya negara itu perlu mempertingkatkan liga domestiknya untuk bersaing dengan pasukan atasan di rantau ini.

Warga Jepun berusia 59 tahun itu berkata pasukan kebangsaan Thailand, Vietnam dan Malaysia meningkat naik kebanyakannya kerana kewujudan liga tempatan yang baik, maka pasukan di tangga ke-195 dunia itu perlu mempertingkatkan liga tempatannya agar setara dengan mereka.

“Sudah tentu ianya memerlukan duit, jurulatih dan kemudahan. Jika Timor Leste boleh mengubah keadaan (liga) domestiknya, kami boleh menjadi pasukan kebangsaan yang kuat,” katanya dalam sidang media praperlawanan kedua menentang Malaysia, esok.

Dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat lepas, pasukan bimbingannya tewas 1-7 kepada pasukan Malaysia yang menduduki ranking ke-168 dunia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Norio berkata peluang pasukannya mara dalam kejohanan itu hampir tiada tetapi beliau mahukan anak buahnya untuk mempertingkatkan persembahan mereka dalam perlawanan kedua di stadium yang sama esok.

Beliau berkata beberapa pemainnya demam selsema dan batuk-batuk tetapi berharap mereka akan beraksi dengan lebih baik esok, sambil itu Norio mengakui ada pemain muda skuadnya tidak sedar mengenai kepentingan kejohanan itu kerana mereka lebih berminat membeli-belah dan membeli kasut baharu sebaik tiba di Malaysia.

“Ini adalah mentaliti yang tidak bagus. Sekarang mereka memahami kepentingan perlawanan ini. Kini mereka belajar daripada pengalaman untuk Sukan SEA dan lain-lain kejohanan,” katanya.

Jumaat lepas, Norio berkata beliau terpaksa membawa pemain muda berusia antara 18 hingga 20 tahun untuk kempen kali ini, kerana kebanyakan pemain senior tidak cukup cergas akibat kurang latihan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kapten Timor Leste, Joao Pedro Da Silva Freitas, 18, yang menjaringkan gol sagu hati buat pasukannya berkata beliau ingin menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan kedua jika berpeluang.

“Memang semua penyerang mahu mencetak (menjaringkan) gol, tapi buat masa ini saya lebih utamakan bagaimana kami akan beraksi sebagai satu pasukan menentang Malaysia, kalau ada peluang, saya akan jaringkan gol.

Sebagai kapten, saya harus beri motivasi kepada rakan sepasukan. Walaupun kami kalah pada aksi pertama, kami akan bermain sebaik mungkin demi Timor Leste, esok. Kami masih yakin, tetapi agak sukar kerana jurang jaringan yang besar,” kata Pedro yang fasih berbahasa Melayu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!