Perhilitan Johor pantau pergerakan gajah liar

Jabatan Perhilitan
Jabatan Perhilitan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perhilitan Johor sedang menyesuaikan strategi terbaik terutama dalam usaha mengesan pergerakan dan kelakuan gajah liar di negeri ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, usaha itu bagi membolehkan pihaknya sentiasa bersiap siaga sekali gus mengelakkan insiden tiga ekor hidupan itu yang dipercayai diracun di Kahang, Kluang tidak berulang.

"Perhilitan Johor memang memandang serius perkara ini, selain mengesan dalang yang bertanggungjawab meracun hidupan ini kami juga perlu ada strategi dan kajian mengapa haiwan itu boleh dilakukan sedemikian.

"Saya juga telah mengarahkan pasukan penyiasat perhilitan di Kluang untuk lihat kawasan itu dan pantau sekiranya ada pergerakan (gajah) lain. Pemantauan awal kami dapati ia juga berpunca akibat habitat binatang ini diganggu.

"Binatang seperti ini hidup dalam persekitaran liar, jadi kita tidak boleh terlalu mengawalnya, tidak boleh nak tangkap semua dan hanya bertindak sekiranya ia merosakkan harta benda dan membahayakan keselamatan orang awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Salman berkata, dirinya sendiri juga sudah pergi ke lokasi kejadian untuk melihat gambaran bagaimana insiden seperti itu boleh berlaku.

"Saya dah pergi kawasan itu, kalau tengok memang kawasan itu adalah kawasan tinggal dan terbiar. Jadi ia bukan perkara yang pelik jika gajah-gajah itu boleh sampai ke sana. Biasanya kelakuan seperti ini adalah disebabkan haiwan ini lapar dan perlukan makanan.

"Kita sekarang masih giat mencari pelakunya sekiranya betul ia diracun, sebab nak kesannya bukan mudah. Kita pun perlukan kepastian haiwan ini makan apa sampai diracun begitu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai populasi gajah liar di seluruh Johor, beliau memberitahu hampir kesemua jajaran hutan di negeri ini mempunyai pergerakan hidupan liar tersebut kecuali di Muar.

"Populasi gajah di sini aktif memang ada, boleh dikatakan memang ada di seluruh jajaran hutan terutama di beberapa daerah iaitu Kluang, Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.

"Sebab itu bila kita nak sekat atau tangkap haiwan ini semua tidak boleh, cuba untuk mudahkan pemantauan kami, aduan orang awam adalah sangat membantu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!