Aidilfitri satukan keluarga Tok Nai Din
PENDANG - Lebih 600 orang hadir pada perjumpaan Aidilfitri Keluarga Tok Nai Din kali ke-46 tang di Pendang Lake Resort,kelmarin.
Pengerusi keluarga, Sheikh Alauddin Sheikh Abu Bakar berkata, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya bacaan al Quran, tahlil, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pemberian sumbangan duit raya.
Katanya, perjumpaan seperti ini sangat penting bagi memastikan ikatan kekeluargaan terus kekal utuh.
"Ia juga perlu diteruskan oleh generasi akan datang sebagai usaha menjalinkan ukhuwah seperti dituntut oleh Islam," katanya.
Mengimbau identiti Tok Nai Din, Sheikh Alauddin berkata, Tok Nai Din merupakan pahlawan Melayu yang mempertahankan Kubang Pasu dari serangan tentera Sukothai ketika zaman Perang Musuh Bisik pada 1821.
"Kubu terakhir beliau ialah di Kota Mengkuang, Jitra sebelum berundur ke Paya Pahlawan, Jitra," ujarnya.
Tambah Sheikh Alauddin, perjumpaan seperti ini hanyalah setahun sekali dan ia dirancang rapi dengan pemilihan tarikh yang sesuai bagi membolehkan semua ahli keluarga berkumpul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!