Cadangan Pemuda UMNO relevan: MCW

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil perhatian serius terhadap cadangan Pemuda UMNO supaya membuka semula tujuh kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, cadangan yang dikemukakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya itu adalah relevan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia berhak untuk menyatakan pandangan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu.

“Saya yakin dan percaya Latheefa sebagai aktivis masyarakat sentiasa membaca dan memantau segala pandangan di media sosial.

“Sudah semestinya beliau akan memberi perhatian yang serius terhadap cadangan ketua pemuda,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, Jais berkata, pihaknya masih berbincang mengenai langkah selanjutnya yang bakal dibuat oleh MCW.

Pada masa sama, katanya, MCW juga sedang mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak sebelum mengambil tindakan lanjut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan desakan Asyraf Wajdi kepada Latheefa supaya menjalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih dengan mempercepatkan atau membuka semula kertas siasatan tujuh kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin PH yang telah disenyapkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Antara kes tersebut termasuk melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti kes rasuah dan salah guna kuasa dalam projek Terowong Bawah Laut dan kes pembelian banglo yang mencurigakan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ia bagi memberi peluang kepada Latheefa membuktikan kesungguhan dan mengotakan janji bagi membersihkan Malaysia daripada rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!