Kisah bekas jurutera elektrik keliling dunia
EMPAT tahun telah berlalu sejak Jacky Chen memulakan cabaran menunggang basikal mengelilingi dunia selepas berhenti kerja sebagai jurutera elektronik.
Lelaki berusia 40 tahun dari Taiwan itu telah merentasi Amerika, Eropah dan sebahagian Timur Tengah, di sepanjang pengembaraannya Chen tidur di dalam khemah atau mencari tempat berehat menggunakan aplikasi seperti Couchsurfing.
Chen juga telah menjejakkan kaki ke Baitulmaqdis di mana dia berpeluang mengamati pemandangan indah sambil merancang perjalanan seterusnya.
"Ini merupakan satu pengembaraan," kata Chen yang menaiki basikal Merida Wolf 3, merentasi 64 negara dengan jarak perjalanan kira-kira 54,000 kilometer.
Chen berhasrat untuk melawat 100 negara dan mengembara sejauh 100,000 kilometer sebelum menamatkan misi dalam masa tiga tahun lagi.
Menurut Chen, dia tidak gemar membuat penyelidikan sebelum tiba di tempat yang bakal dilawatinya kerana mahu mempunyai pandangan tersendiri.
Antara cabaran paling sukar dihadapi Chen adalah ketika terpaksa berbasikal dalam salji tebal selain berselisih dengan kereta dan lori ketika berbasikal di jalan raya.
Memulakan pengembaraan dari Alaska, Amerika Syarikat, Chen telah sampai ke Machu Picchu dan Paris, dan kini dalam perjalanan menuju Jordan sebelum menyeberang ke Mesir seterusnya ke sebelah timur benua Afrika.
Chen kemudian akan menuju ke Asia sebelum menamatkan pengembaraannya.
Pada tahun 2017, Mark Beaumont dari Scotland mencipta rekod dunia apabila berbasikal mengelilingi dunia dalam masa 79 hari namun bagi Chen, dia lebih menghargai pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanannya berbanding pengiktirafan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!