Penyakit mental zaman moden
KETAGIHAN melayari media sosial dan bermain permainan dalam talian yang berlebihan boleh diklasifikasikan sebagai mental disorder, kata Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nurhafizah Mohd Sukor.
Menurut Dr Nurhafizah, penggunaan media sosial yang berlebihan boleh mengakibatkan banyak masalah psikologi, sosial dan budaya yang mungkin boleh berubah kalau terlampau banyak menggunakannya.
Ya Merak Jalanan setuju! Semua benda, jika berlebihan pasti akan mendatangkan kemudaratan.
Apabila sudah diklasifikasikan sebagai kategori penyakit mental maka ia sesuatu yang berbahaya.
Menurut Kementerian Kesihatan, penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Contoh paling hampir dapat dillihat ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Orang yang ketagihan media sosial di tangan mereka sentiasa melekat telefon pintar setiap masa dan boleh dikatakan 24 jam bersama telefon.
Tidak kiralah waktu apa sekalipun mereka pasti bersama telefon. Ketika membakar lemang, ketika mendengar khutbah, sambil makan waima ke dalam jamban pun dibawa telefon pintar.
Jika sahabat handai beramah mesra berbual, mereka pasti tidak akan bercampur kerana sibuk dengan gajet masing-masing.
Kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1 peratus daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental.
Maka kajian serupa perlu dilakukan pada tahun ini kerana hasilnya pasti lebih mengejutkan. Peratusan yang mengalami penyakit mental dijangka bertambah dengan drastik sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!