Henti politikkan mahkamah
KEBELAKANGAN ini, banyak keputusan mahkamah telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka mengaitkan keputusan-keputusan mahkamah dengan pelbagai isu seperti perkauman, berat sebelah, kaitan parti politik dan sebagainya.
Baru-baru ini, apabila Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Abang Botak yang memecahkan cermin hadapan kereta dalam satu kejadian yang disifatkan sebagai pembulian jalan raya, ramai mengaitkan keputusan tersebut sebagai tidak adil, melampau, bersifat rasis, dan sebagainya. Sedangkan Abang Botak telah didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara 12 bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kami dalam kalangan peguam sendiri turut berbeza pandangan dengan hukuman yang dijatuhkan oleh majistret tersebut terhadap Abang Botak. Ada antara kami yang bersetuju dan ada antara kami yang tidak bersetuju kerana merasakan hukuman tersebut agak keterlaluan apatah lagi apabila hukuman tersebut dijatuhkan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.
Kemudian ramai pula golongan yang tidak bertanggungjawab mula memainkan pelbagai sentimen perkauman dan perbezaan ideologi politik kononnya Abang Botak dihukum kerana faktor bangsa beliau. Ini adalah satu tuduhan berat dan mungkin juga berbentuk fitnah kepada mahkamah dan boleh dianggap sebagai tindakan yang menghina mahkamah.
Orang awam yang kurang faham bagaimana sistem kehakiman di negara ini berfungsi adalah dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya membuat sebarang komen melulu atau tuduhan yang boleh mencemarkan institusi kehakiman. Perbuatan sebegini boleh mengundang implikasi perundangan yang teruk kepada anda kerana boleh didakwa sebagai menghina mahkamah.
Secara falsafah dan berlandaskan prinsip jurisprudens, para hakim di negara ini sentiasa menilai hukuman-hukuman dengan penelitian tertentu. Dalam menjatuhkan hukuman, para hakim juga mengambilkira prinsip kemanusiaan dan pengajaran kepada orang awam. Dalam kes Abang Botak ini, kita boleh simpulkan bahawa perbuatan pembulian di jalan raya adalah satu kesalahan yang semakin menjadi-jadi dan boleh menggugat keamanan negara.
Kemungkinan itulah majistret tersebut telah berpendapat bahawa hukuman 12 bulan adalah satu hukuman yang wajar dan adil dengan mengambil kira faktor-faktor keselamatan awam serta pengajaran. Tindakan denda semata-mata mungkin tidak akan memberikan mesej yang jelas mengenai betapa serius kesalahan pembulian di jalan raya ini. Sudah menjadi kebiasaan mahkamah untuk lebih memandang kemaslahatan awam berbanding kebajikan tertuduh.
Namun, itu tidak bermaksud kes Abang Botak tidak boleh dibuat rayuan. Beliau masih mempunyai peluang untuk merayu bagi mengurangkan hukuman tersebut kepada denda (sehingga artikel ini ditulis, rayuan masih belum dilakukan). Bagaimanapun, seandainya hukuman tersebut ditukar kepada denda dan kadar denda yang dikenakan kepada Abang Botak itu masih terlalu tinggi untuk beliau bayar, sudah tentu beliau akan kembali ke penjara.
Begitu juga dengan beberapa kes lain yang turut dibanding bezakan dengan kes Abang Botak. Kesemua kes yang dibandingkan tersebut tidak mempunyai jenis kesalahan yang sama dan tidak dituduh dibawah seksyen yang sama.
Sebagai contoh, kes Abang Botak dituduh di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala kes seorang lelaki yang menumbuk pemandu bas Rapid Penang di Pulau Pinang pula dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan) dan hanya di denda RM1,000. Kedua-dua seksyen ini digunakan untuk jenis kesalahan yang berbeza dan sudah tentu mempunyai hukuman yang berbeza.
Tidak wajar untuk kita mempermainkan keputusan mahkamah semata-mata untuk membuktikan kepada orang awam bahawa negara ini sedang dirundung dengan masalah rasisme dan berat sebelah. Para hakim kita terdiri daripada golongan profesional yang bijaksana dan insya-Allah akan menjalankan tugas mereka sebaik mungkin tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak mahu pun apa-apa jua sentimen.
Seandainya ada bukti mengatakan terdapat campur tangan luar atau mana-mana hakim menjatuhkan hukuman atas sentimen rasisme atau ideologi politik, orang awam boleh membuat aduan ke saluran yang disediakan.
Kita perlu bersangka baik kepada sistem kehakiman negara agar sistem keadilan di negara ini akan terus disanjung dan dihormati. Kestabilan negara banyak bergantung kepada undang-undang yang ditegakkan secara adil dan saksama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!