Polis tahan penjual ikan dera anak
SERDANG - [DIKEMASKINI] Polis menahan seorang penjual ikan yang menghilangkan diri sejak 31 Mei lalu selepas disyaki mendera anak angkatnya di rumahnya di Taman Pinggiran Putra Seri Kembangan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Bandar Kinrara 5, kira-kira jam 10 malam tadi.
Menurutnya, polis turut menemui dua sudu panjang berukuran 12 inci dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Katanya, sudu itu ditemui setelah pemeriksaan dibuat di sebuah rumah di Jalan Pinggiran Putra, Seri Kembangan.
"Suspek mengaku mendera mangsa dan dia mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya.
"Seorang lagi anak suspek iaitu kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berada dalam jagaan ibu suspek akan dihantar untuk pemeriksaan hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dera masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan siasatan lanjut berhubung kes masih diteruskan di bawah Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan cedera dipukul didera bapa angkat
Terdahulu, mangsa dilapor cedera di beberapa bahagian anggota badan disyaki didera bapa angkatnya dalam kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mei lalu.
Kejadian dilapor ibu angkat mangsa berusia 25 tahun yang mendakwa suaminya mendera mangsa dengan menggunakan sudu panas serta memukul kepala kanak-kanak itu di rumah mereka di Taman Pinggiran Putra Seri Kembangan di sini.
Menurutnya, disebabkan itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat melecur di kedua pipi, kedua-dua tangan, pinggang kanan serta kaki kiri.
Selepas kejadian, bapa angkat mangsa hanya memberikan minyak sebelum melarikan diri.
Suspek bertindak demikian selepas menuduh mangsa mencuri wangnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!