Masalah pesawah Sanglang dapat perhatian Mada
ALOR SETAR - Masalah tanaman terjejas dialami ratusan pesawah di Sanglang didakwa berhubung pembangunan projek Muda III mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Mada, Syed Zainuddin Syed Zain berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pesawah di Sanglang berhubung Projek Muda III didakwa tidak efektif.
Katanya, Mada dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengadakan pertemuan untuk berbincang dan menyelesaikan isu itu dengan pesawah terbabit di Kampung Matang Kerengga, dekat sini, semalam.
Menurut beliau, siasatan mendapati rekabentuk dan pembinaan beberapa laluan parit yang digunakan sebagai dwi fungsi pada asalnya telah dijadikan satu fungsi.
"Melalui siasatan, jajaran tali air tersier (konkrit) dan laluan bekalan air telah dijadikan sebagai satu fungsi sahaja.
"Untuk itu, pesawah perlu membuang air di parit tersier (parit bawah) di bahagian hujung lot," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, katanya, isu tali air tersier (konkrit) rendah dari aras sawah telah dimaklumkan kepada JPS, yang mana ia dalam peringkat siasatan dan tindakan.
Syed Zainuddin berkata, JPS juga telah memaklumkan kepada kontraktor bahawa keadaan status 'quo' sedia ada di tapak perlu dikekalkan.
Sehubungan itu, menurut Syed Zainuddin, pihak kontraktor akan menyelesaikan isu berkenaan dengan kadar segera.
Katanya, Pembangunan Sistem Pengairan Tersier di kawasan berkenaan akan memberi manfaat positif kepada pesawah apabila ia siap kelak.
"Cumanya, beberapa isu semasa perlu diselesaikan sementara projek pembinaan projek itu berjalan di kawasan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekecewaan ratusan pesawah dari Kampung Matang Kerengga, Lana Bulu, Sanglang, Batas Bengkok, Lubuk Pinang dan Teluk Gelam berkaitan pembangunan Projek Muda III didakwa tidak dilaksanakan secara efektif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!