“Ketahui status anda” – tema Hari Aids Sedunia 2018

1 Disember setiap tahun diperuntukkan sebagai Hari Aids Sedunia sejak 1988.
1 Disember setiap tahun diperuntukkan sebagai Hari Aids Sedunia sejak 1988.
A
A
A

JIKA anda tahu rakan anda menghidap jangkitan HIV, adakah anda masih ingin berkawan dengan dia seperti biasa? Atau anda akan berasa sangsi dan jijik? Kalau anda jijik, anda masih gagal dalam membantu membanteras jangkitan HIV/Aids. Mengapa? Perkara utama yang membunuh pesakit HIV/Aids bukan tuberkulosis, kanser, atau penyakit jantung tetapi stigma masyarakat ke atas mereka!

Pada hari ini, masih ramai pesakit mati disebabkan jangkitan HIV iaitu hampir 1 juta setiap tahun. Satu daripada empat individu yang menghidap jangkitan HIV tidak tahu mengenainya. Majoritinya ialah dalam kalangan kumpulan utama: lelaki homoseksual, banduan penjara, penyalahgunaan dadah, pekerja seks, dan golongan transgender.

Dalam kebanyakan kes, kumpulan utama ini sering menghadapi stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat disebabkan perbezaan budaya dan norma setempat serta undang-undang.

Kesannya, kehidupan golongan ini akan terus terbiar dalam kerosakan dan jauh daripada masyarakat serta penjagaan kesihatan. Sedangkan, mereka mempunyai hak terhadap fasiliti dan khidmat kesihatan. Akhirnya, saiz komuniti ini akan terus membesar sambil menyebarkan jangkitan HIV.

Jadi, bagaimana penyakit ini akan berakhir?

1 Disember setiap tahun diperuntukkan sebagai Hari Aids Sedunia sejak 1988. Kali ini pada tahun 2018, temanya ialah “ketahui status anda”.

25% pesakit HIV yang tidak tahu status mereka bukan satu angka yang kecil. Mereka ini perlu dicapai dan itulah cabaran terbesar dalam menangani penyakit ini.

Bagaimana golongan ini boleh dicapai dan diselamatkan?

Artikel Berkaitan:

1. Mengatasi stigma dan diskriminasi melalui pendidikan dan polisi yang sesuai.

2. Meningkatkan ketersediaan ujian HIV di pusat kesihatan dan mempromosi ujian kendiri (self test) melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, dan syarikat korporat.

3. Menyediakan khidmat kesihatan yang menyeluruh kerana pesakit kebiasaannya menghidap penyakit lain seperti tuberkulosis (1 dari 3 kematian), penyakit jantung (1 dari 3 pesakit menghidap masalah jantung), dan hepatitis viral (5 juta pesakit).

Membudayakan gaya hidup sihat, sejahtera

Kita tidak seharusnya menghukum mana-mana golongan yang melakukan kesalahan (bahkan bukan semua daripada mereka bersalah). Sebaliknya, tangan perlu dihulurkan untuk membantu mengeluarkan mereka dari keadaan tersebut.

Kumpulan utama yang terjejas dalam jangkitan HIV ini tidak dinafikan mengamalkan gaya hidup kurang sihat. Tanpa menghukum, mereka perlu diberikan peluang kedua untuk berubah.

Dalam masa sama, pendidikan dan pembudayaan gaya hidup yang sihat dan sejahtera hendaklah dipupuk sejak di bangku sekolah. Di Malaysia, kita sangat bertuah kerana masih kaya dengan nilai agama dan moral serta adab ketimuran. Ia boleh menjadi benteng yang utuh dalam mencegah masyarakat daripada jangkitan HIV/Aids.

Amalkan gaya hidup sejahtera dan bantu mereka yang kurang bernasib baik.

Kredit: https://hellodoktor.com/ms/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!