Op Selamat hari ke-13: 221 kematian direkodkan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang dua hari lagi sebelum Op Selamat 15/2019 berakhir kes kematian akibat kemalangan jalan raya terus mencatat peningkatan kepada 221 orang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 lagi kes kematian dicatatkan semalam berbanding hari sebelumnya.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor terus mencatat jumlah korban paling tinggi iaitu 38 kematian diikuti Johor (34), Perak (23) dan Pahang (18).

“Kedah 17 kes kematian, Sabah (16), Sarawak (15), Kelantan (14), Terengganu (11), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

“Selangor juga mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 5,487 kes diikuti Johor (3,293), Kuala Lumpur (2,405) dan Perak (1,843).

“Keseluruhan kemalangan pula mencecah sehingga 21,265 kes yang mana 206 melibatkan kemalangan maut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik PDRM, sehingga hari ke 13 Op Selamat 15/2019 sebanyak 292,527 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Sementara statistik kes pecah rumah dan premis meningkat kepada 658 kes yang mana kes pecah kediaman direkodkan paling tinggi, 435 kes.

Artikel Berkaitan:

Op Selamat 15/2019 akan berakhir pada esok selepas dilancarkan pada 29 Mei lalu.

Op Selamat 9/2016 Hari Raya Aidilfitri mencatatkan kematian sebanyak 299 dan jumlah itu menurun pada Op Selamat 11/2017 Hari Raya Aidilfitri kepada 257 kes. Pada Op Selamat 13/2018 Hari Raya Aidilfitri pula mencatat 248 kematian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!