Kerajaan serius tangani isu kemiskinan pesawah
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Isu kemiskinan dalam kalangan pesawah dan jaminan makanan menjadi perhatian utama kerajaan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam kalangan penanam padi adalah kerana mereka terlalu bergantung kepada subsidi serta tidak efisien dalam menggunakan sepenuhnya pemegangan tanah mereka.
Kerajaan, kata beliau, telah memperuntukkan lebih RM1.8 bilion setahun untuk memberi subsidi kepada 200,000 pesawah dan perlu mengimport AS$60 bilion makanan setahun.
“Kita dah ada terima beberapa perkara yang menyebabkan mereka menjadi miskin. Yang pertama ialah mereka mempunyai pemegangan yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik.
“Yang keduanya mereka tidak efisien. Di atas tanah yang satu ekar boleh keluar lapan tan, mereka keluar cuma empat tan,” kata perdana menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Dr Mahathir berkata, kaedah penanaman padi perlu dipertingkatkan selain cara pesawah menggunakan baja bagi meningkatkan hasil tanaman serta tidak memaksa mereka menanam padi sahaja.
“Mereka boleh ada tanaman gantian yang boleh beri pulangan yang lebih baik umpamanya tanaman kontan yang mana boleh dituai tiga kali, empat kali setahun dan memberi pulangan yang lebih baik berbanding penanaman padi.
“Padi di Kedah kita boleh tanam dua kali, di tempat lain cuma sekali. Jadi pendapatan mereka memang berkurangan sebab itu kita perlu lihat perkara ini (kemiskinan penanam padi) secara keseluruhan,” katanya dan menambah bahawa pada masa yang sama negara juga perlu memastikan jaminan makanan.
“Kita perlu mengenal pasti bidang yang boleh dilakukan untuk sekurang-kurangnya membantu petani meningkatkan pendapatan dan pada masa yang sama tidak membebankan kos kepada pengguna. Harga pengguna tidak boleh naik untuk menambah pendapatan petani,” kata Dr Mahathir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!