24 orang asli Kuala Koh masih dirawat di Hospital Kuala Krai
KUALA KRAI - Seramai 24 orang asli suku Bateq Kuala Koh dipercayai menghadapi masalah pernafasan masih dirawat di Hospital Kuala Krai selepas jumlah meninggat sekali ganda berbanding 12 pesakit pada 9 Jun lalu.
Pengarahnya, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, empat daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak kelmarin.
"Daripada jumlah tersebut dua pesakit perempuan berusia 12 dan 27 tahun ditempatkan di wad ICU dewasa manakala dua bayi perempuan masing-masing berusia 39 hari dan 3 bulan di tempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
"Keadaan kesemua pesakit dilaporkan stabil dan kami sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa,'' katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 13 pesakit lelaki dan 11 wanita menerima rawatan dan pemantauan daripada doktor termasuk pakar serta ditempatkan di wad khas iaitu wad Kluster saluran pernafasan kalangan Orang Asli.
"Kita turut mengehadkan orang untuk melawat pesakit dirawat di wad terbabit bagi mengelakkan jangkitan. Setakat ini belum ada pesakit dibenarkan pulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!