Duda Idaman Malaya bakal jadi bapa
SEREMBAN - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kepada lelaki yang pernah mendapat jolokan Duda Idaman Malaya, Abil Fikri Ahmad, 50, apabila dia bakal bergelar bapa.
Abil Fikri berkata, isterinya, Nor Aida Mohamad, 30, kini mengandung enam bulan dan dijangka bersalin pada pertengahan September ini.
Bekas perunding kewangan itu pernah menjadi sebutan ramai selepas kisah ketabahannya menjaga isteri, Fauziah Muhamad atau dipanggil Gee yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013.
Berkongsi kisahnya, Abil Fikri berkata, dia tidak sangka akan mempunyai darah daging sendiri ketika berusia 50 tahun.
Malah, katanya, berita gembira itu dikhabarkan isterinya pada sambutan ulang tahun kelahirannya pada 28 Januari lalu sekali gus menjadi hadiah paling besar dalam hidupnya.
“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bakal bergelar bapa pula. Usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.
“ALLAH telah gantikan dua Syawal saya yang agak murung sebelum ini dengan ‘hadiah’ ini. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Ditanya sama ada dia sudah mengetahui jantina anak, Abil Fikri berkata, dia tidak kisah kerana yang paling penting isteri dan bayinya selamat serta sihat.
“Saya tidak sabar tunggu saat tersebut kerana dengan arwah isteri, kami tidak ada rezeki dikurniakan anak. Dapat rasa kasih sayang anak-anak pun dengan lima anak arwah kerana itu merupakan perkahwinan keduanya.
"Bagaimanapun, saya juga ada seorang anak angkat yang berusia 22 tahun,” katanya.
Bercerita mengenai sambutan Syawal tahun ini, Abil Fikri berkata, rutin menziarahi ibu arwah isterinya di Terengganu setiap kali Aidilfitri tidak dapat dilakukan pada tahun ini.
"Saya beraya di Kedah kerana kakak iparnya diserang strok. Walaupun saya sudah ada isteri baru tetapi ibu arwah Gee tetap ibu saya selamanya. Rutin saya melayaninya sehingga kini tetap sama,” katanya.
Malah, dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.
"Paling menyentuh hati, isteri saya pula yang selalu ingatkan supaya pulang jenguk keluarga arwah Gee termasuk ziarah kuburnya.
“Saya bersyukur dengan kasih sayang ini. Kepada semua pengikut Facebook saya Dana Sinar Fauziah, terima kasih atas sokongan dan doa kalian selama ini,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!