PSC pelantikan jawatan utama masih tak dapat berfungsi ikut undang-undang
PUTRAJAYA - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam tidak dapat berfungsi secara sah lagi kerana beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diubah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda.
Justeru katanya, buat masa ini semua lantikan hanya diputuskan oleh Perdana Menteri.
"Pihak lain boleh memberikan pendapat mereka tetapi yang akan membuat keputusan adalah Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra di sini hari.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Tambahnya lagi, secara dasarnya kerajaan bercadang untuk mewujudkan PSC tetap tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi, buat masa ini ini kita ikut idea lama yang mana Perdana Menteri akan memutuskan semua lantikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan melalui PSC atau sebaliknya.
Terdahulu, Tan Sri Razali Ismail meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suhakam pasa 16 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!